
JIKA bukan kerana lagu I'm Yours, penyanyi kelahiran Mechanicsville, Virginia ini mungkin tidak mampu melangsungkan konsert pertamanya di Stadium Negara, Kuala Lumpur malam Rabu lalu. Populariti lagu itu bagaikan telah membuka haluan baru kepada Jason Mraz untuk memperkenalkan dirinya sekali lagi.
Maka, apabila berita mengenai konsertnya diumumkan, pihak penganjur, Marctensia tidak perlu terlalu merisaukan jumlah penonton yang bakal mengisi ruang stadium itu. Malah melebihi jangkaan awal, seramai 9,000 telah datang untuk bersama menikmati suara dan menyaksikan gelagat Jason.
Selepas menyaksikan persembahan Jason, rasanya sudah lama kita tidak menyaksikan sebuah konsert begitu bersemangat dan bertenaga daripada kedua-dua penyanyi serta penontonnya.
Walaupun dia bukan menyampaikan lagu rancak tetapi alunan pop rock, alternatif dan blue-eyed soul mampu membawa audiens yang berdiri dan duduk menari dan bergoyang bersama.
Berlangsung hanya selama 90 minit, konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu melihatkan Jason keluar ke pentas dengan merakamkan suasana sekeliling terutama wajah-wajah peminatnya. Menyukai stail sederhana dan santai, imej itu boleh dilihat pada dirinya sendiri.
Tampil dengan kemeja-T dan topi yang merupakan tren ikonik Jason, dia tidak memerlukan props, penari atau baju mewah untuk menjayakan konsertnya. Berdiri di atas pentas tanpa kasut, Jason disokong oleh penata cahaya dan penata bunyi serta barisan pemuziknya.
Memulakan konsert dengan lagu Make It Mine dan diikuti dengan Remedy, Jason yang menyanyi turut memaparkan kemahiran bermain gitar.
"Terima kasih," ucap Jason ringkas dalam Bahasa Malaysia. Tambahnya lagi, "Bagaimana perasaan anda hari ini? Raikan kehidupan anda sebaiknya."
Dalam suasana panas seperti berada dalam ketuhar, baju Jason turut basah dan rasanya keadaan yang sama juga melanda penonton. Namun, itu tidak mematahkan semangat audiens untuk terus menikmati dan bersorak.
Berharap peminatnya berhibur sepenuhnya, Jason, 32, memilih lagu-lagu popular daripada tiga buah albumnya, Waiting for My Rocket to Come (2002), Mr. A-Z (2005) dan We Sing. We Dance. We Steal Things. (2008). Antaranya termasuk You And I Both, If It Kills Me, Life Is Wonderful, Live High, A Beautiful Mess, Geek In The Pink dan Dynamo.
"Saya mahu menyampaikan seleksi lagu terbaik daripada ketiga-tiga buah album saya malam ini," ujarnya ketika ditemui pada sidang media beberapa jam sebelum konsert berlangsung.
Jason yang melanjutkan pendidikan di Akademi American Musical and Dramatic, New York memulakan konsert jelajah Asia di Seoul, Korea pada 21 Februari lalu.
Penyanyi itu kemudian menghiburkan peminatnya di Jepun, Taiwan dan Hong Kong sebelum menawan Malaysia diikuti Singapura dan Indonesia.
Popularitinya juga telah membawa dia menjelajah Eropah dan Australia sebelum pulang ke Amerika Syarikat bagi menjayakan lebih 20 konsert lagi.
"Sepanjang tahun ini, saya akan mengembara untuk menghiburkan peminat. Pertama kali di sini, saya amat bertuah untuk menghiburkan peminat di sini dan berharap untuk kembali ke negara ini dalam masa terdekat," tambahnya yang mempunyai hobi mengumpul topi.
Kurang pengetahuan mengenai Malaysia, Jason bagaimanapun berpeluang untuk berduet dengan penyanyi popular Malaysia, Penny Tai untuk lagu Lucky. Namun, lagu yang dinanti-nantikan oleh peminat itu sedikit mengecewakan apabila Jason terpaksa memulakan lagu itu tanpa Penny.
Mungkin atas sedikit masalah komunikasi, Penny tidak muncul di atas pentas sehingga Jason menyuruh penonton menyanyi bersama. Muncul selepas itu, Penny berjaya menghabiskan lagu itu tetapi perasaan cemas kerana lambat telah membuatkan suara Penny tidak begitu meyakinkan.

Tetapi kesilapan kecil tidak sekali menjatuhkan gred konsertnya. "Selalunya semasa saya menyanyi di negara berlainan, saya akan meminta untuk berduet dengan penyanyi tempatan. Saya suka berkongsi pentas dan Penny ialah penyanyi yang dicadangkan kepada saya," katanya yang sebelum itu menyampaikan lagu kegilaan ramai, I'm Yours.
Membesar dengan pengaruh muzik daripada penyanyi seperti Michael Jackson dan Pearl Jam, Jason pada sidang medianya juga ada memberitahu bahawa dia seorang manusia biasa seperti insan lain. Inginkan kehidupan ringkas bersama keluarga dan rakannya, cita rasa calon teman wanita Jason juga berlainan.
"Saya sukakan wanita yang boleh menjadi dirinya sendiri. Tidak berpura-pura, tidak memerlukan pakaian cantik dan mahal atau bersolek. Bersifat natural itu adalah yang paling cantik," katanya dalam nada lembut.
Berharap untuk menjadi penulis lagu, Jason hanya akan merakamkan album terbarunya selepas konsert jelajahnya pada penghujung tahun. Dia tidak tergesa-gesa untuk menanti album baru atau teruja dengan sebarang penganugerahan. Baginya, melakukan apa yang disukai adalah satu tanda kejayaan.
"Semasa anda dicintai dan mencintai seseorang, itu adalah satu kejayaan. Semasa saya bermain muzik, berdepan dengan cabaran dan diberi peluang bermula 10 tahun lalu, itu satu kejayaan bagi saya kerana saya lakukan benda yang disukai.
"Bermain muzik di kafe semasa saya mula menyanyi juga satu kejayaan bagi saya. Namun, pencalonan dalam majlis anugerah Grammy bagi saya bukan satu kejayaan yang perlu dibanggakan," jelasnya yang menyukai kerja kreatif.
Menukar baju dengan corak perkataan dan simbol 'I Love KL'' pada penghujung konsert, Jason menamatkan persembahan dengan lagu No Stopping Us dan Butterfly.
Bijak menghiburkan penonton dengan aksi dan gelagat lucu serta nakal, Jason juga mengambil peluang untuk berlari ke kedua-dua penghujung pentas sebelum berpisah.

Tidak berhenti mengucapkan rasa berterima kasih, Jason terbukti seorang penghibur berkaliber walaupun bukan seorang penyanyi berpengalaman luas dalam menjayakan konsert.
Dia juga bukannya seorang penyanyi yang memiliki puluhan album untuk dipersembahkan, tetapi Jason ialah contoh pakej penghibur pentas sempurna.
wow.....thats great you know.....saya tidak mengetahui bahawa jason telah datang ke malaysia..kerana saya duduk diasrama........
ReplyDeleteada tak video ketika persembahan jason di kl?