
KUALA TERENGGANU - Anak Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang mencetuskan kontroversi antara dua negara pada 1992, Raja Shahirah Aishah, 23, selamat diijabkabulkan dengan vokalis kumpulan Love Me Butch, Syarul Reza Abdul Aziz, 29, di sini malam tadi.
Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh Raja Kamarul Bahrin di Masjid Tengku Tengah Zaharah yang lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Terengganu dengan mas kahwin RM100.
Syarul Reza yang kelihatan gementar terpaksa melakukan lafaz nikah sebanyak tiga kali sebelum sah bergelar suami kepada Raja Shahirah pada majlis yang berlangsung pukul 9.37 malam.
Majlis akad nikah disusuli dengan upacara membatalkan air sembahyang dengan kedua-dua mempelai menyarungkan cincin ke jari pasangan.
Ia disaksikan oleh saudara-mara daripada kedua-dua pihak sementara ibu Raja Shahirah, Jacqueline Pascarl-Gillespie tidak hadir kerana berada di Australia walaupun telah dijemput.
Raja Shahirah yang baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam berkenalan dengan suaminya yang juga anak kelahiran Selangor sejak lima tahun lalu.
Majlis persandingan mereka akan diadakan di Aryani Resort di Merang, Setiu hari ini dengan berkonsepkan Melayu tradisional dan diikuti dengan majlis resepsi untuk keluarga Jacqueline di Australia tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: