Friday, March 13, 2009

Kemenangan yang direstui!Raja Lawak


RAJA LAWAK 3 berjaya melahirkan sekumpulan lagi bakat baru yang dijangka mampu memeriahkan lagi dunia hiburan tanah air.



SEPAH kini memikul tanggungjawab yang besar selepas bergelar juara Raja Lawak 3.


HANYA senyuman dan ucapan kesyukuran yang mengiringi kemenangan tiga anak muda yang menamakan diri mereka sebagai Sepah.

Sepah dianggotai oleh Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep), 23, Mohd Noor Murad (Mamat), 24, dan Shahmira Muhamad (Shuib) 23, yang berasal dari Johor, tidak menyangka penyertaan sekadar suka-suka telah membuah hasil lumayan dan meletakkan diri mereka di tahap yang berbeza kini.

Laungan Allahuakbar! sebanyak tiga kali di pentas kemenangan oleh Mamat, menunjukkan dengan jelas kemenangan ini sungguh besar ertinya buat mereka bertiga.

Mereka bukan lagi budak kampung yang tidak mempunyai wawasan sebaliknya dengan kepercayaan dan restu yang diberikan oleh seluruh warga Malaysia mereka mempunyai misi yang harus dilunaskan.

Memegang gelaran Raja Lawak musim ketiga dan akan berada di bawah payung Maestro Talent Management selama tiga tahun, Sepah mengakui besar tanggungjawab yang harus dipikul tetapi ini jalan yang dipilih dan mereka terima dengan hati yang terbuka.

"Tentang tanggungjawab itu memang besar, tetapi kewujudan kami bukan untuk menggantikan sesiapa. Rasanya masih terlalu awal untuk mengukur keupayaan kami.

"Banyak lagi perkara yang harus kami belajar kerana dunia seni realiti benda yang baru buat kami bertiga. Segala tunjuk ajar dan nasihat daripada 'orang lama' dalam industri ini akan gunakan sebaik mungkin," ujar Jep selaku 'jurucakap' Sepah yang menolak apabila kumpulan mereka disamakan dengan kumpulan Senario.

Tambah Jep lagi, mereka bersyukur kerana kemenangan mereka direstui warga Malaysia memandangkan keputusan 100 peratus terletak di tangan pengundi bukannya pihak juri tetap yang menilai mereka malam itu iaitu Zaibo, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan juri undangan Adlin Aman Ramlie.

"Itu yang membuat kami terharu, tidak tahu macam mana nak balas jasa mereka semua selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Terima kasih kerana memilih kami," ucap Jep.


AMIR (kiri), Sepah dan Jihan teruja dengan pencapaian masing-masing. (KANAN) AMIR mengakui dia sering membuat aksi lawak yang ‘syok sendiri’ di pentas.


Jika dilihat dengan teliti, sudah pasti Sepah mempunyai kelebihan berbanding dua peserta solo yang turut bersama mereka di final iaitu Jihan dan Amir.

Namun, jelas mereka, bukan mudah untuk menyatukan idea tiga kepala menjadi satu jika tidak disusuli dengan sedikit pergaduhan.

"Orang kata kami menang sebab kami bertiga dan yang lain itu solo. Memang benarlah berkumpulan ini lebih mudah untuk buat lawak tetapi kami sudah mengambil risiko apabila tampil bertiga.

"Alhamdulillah, gabungan kami menjadi. Tipulah kalau tidak pernah gaduh tetapi selalunya kami bergaduh pun kerana ingin yang terbaik. Biasalah kalau sudah tiga orang, idea yang keluar pun ada tiga, kadang-kala tiada idea langsung (ketawa), macam mana pun kami sentiasa bersefahaman, itu yang menguatkan kumpulan kami," tegas Jep.

Jangan Berpecah!

Bakat mereka bukan sekadar melawak, tetapi juga menyanyi dan berlakon. Seperti tahun lalu, final program ini dibahagikan kepada dua bahagian cuma yang berbeza tahun ini peserta dikehendaki melawak secara muzikal pada bahagian kedua.

Ternyata Sepah mendapat tepukan gemuruh apabila membawakan lawak dan nyanyian dengan baik sekali. Malah, pada bahagian pertama juga mereka bertiga menyelitkan nyanyian.

"Sebenarnya, idea untuk menyanyi dan membuat lawak malam final hanya datang sehari sebelum final. Sebelum itu kami takut juga kerana idea tidak timbul-timbul (ketawa).

"Kami kalau boleh ingin menyelitkan mesej dalam setiap lawak kami, seperti bahagian pertama kami cuba selitkan tentang masa itu emas dan bahagian kedua, tentang orang tua.

"Bila diminta menyanyi, kami nyanyi dengan ubah lirik asal untuk disesuaikan dengan lawak kami. Apa yang membuat kami terharu, bila juri kata sudah macam konsert Sepah. Itu satu penghormatan walaupun tujuan sebenar adalah untuk melawak bukannya menyanyi," kata Jep.


SOKONGAN penonton antara yang berjaya memeriahkan final Raja Lawak 3.


Dalam pada itu, pihak juri berkali-kali memberi pesanan secara langsung kepada mereka bertiga supaya tidak berpecah di masa hadapan.

Kata Zaibo, satu dosa besar jika mereka berpecah. Manakala, Fauziah Nawi pula mengatakan kumpulan mereka tidak akan terus hidup dalam industri seni tempatan andai berpecah kerana masing-masing mempunyai peranan dan keistimewaan tersendiri.

Luah Sepah pula, mereka tidak mungkin berpecah, andai suatu hari perkara itu berlaku, maka lenyaplah Sepah daripada direktori seni tempatan.

"Kami mula bertiga dan selamanya bertiga. Andai kata suatu hari salah seorang daripada kami tarik diri, maka lenyaplah kumpulan Sepah.

"Sepah adalah kami bertiga, jika tinggal dua atau satu orang saja, itu bukan Sepah dan semahunya, kami mahu elakkan perkara itu daripada berlaku," kata Shuib.

Berkenaan dengan wang kemenangan sebanyak RM20,000, mereka bertiga masih belum memutuskan bagaimana untuk membahagikan wang tersebut.

Bagaimanapun, kereta jenama Citroen Picasso yang dimiliki mereka bertiga akan digunakan sebagai kenderaan 'rasmi' bagi menjalankan aktiviti seni kelak memandang masing-masing belum lagi mempunyai kenderaan sendiri.

"Kereta itu akan kami guna bersama memandang kami pun bekerja secara berkumpulan, jadi tidak ada masalah. Kami kongsi," terang Mamat.


JURI Raja Lawak 3 mengingatkan Sepah supaya tidak berpecah di masa hadapan.



JIHAN belum pasti sama ada mahu meneruskan kerjaya sebagai pelawak sepenuh masa.


Sama seperti Nabil juara musim lalu, mereka bertiga turut akan mengendalikan program mereka sendiri kelak dan perkara itu diberitahu sendiri oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.

"Buat permulaannya mereka akan kendalikan program yang lebih bercorak hiburan dan akan ditayangkan di Astro Ria sebelum program seterusnya untuk Astro Prima pula.

"Selebihnya, segala aktiviti mereka akan ditentukan oleh pihak Maestro," kata Nizam.

Buat pemenang tempat kedua Nuur Jihan Musa atau Jihan, 25, sungguhpun mendapat tempat kedua, dia reda dan menganggap Raja Lawak sebagai platform untuk terus maju dalam bidang seni.

"Persembahan pertama memang saya akui agak gementar tetapi persembahan kedua saya lebih yakin, mungkin kerana pengalaman saya dalam teater sebelum ini.

"Sekarang ini saya cuti tanpa gaji, tengoklah macam mana. Kalau ada rezeki dalam bidang seni saya akan teruskan, kalau tidak saya akan kembali bekerja seperti biasa," ujar Jihan.

Bagi peserta kelahiran Kelantan, Amir yang sudah dijangka berada di tempat ketiga kerana lawaknya yang kurang menjadi, secara jujur bersetuju apabila dia dikatakan buat lawak 'syok sendiri' ketika di pentas.

"Sudah juri cakap macam itu, memang macam itulah. Saya hanya jadi diri sendiri. Itu yang terbaik dapat saya berikan. Saya tidak kisah orang nak berkata apa tentang saya," luah Amir yang dilihat sedikit kecewa dengan kekalahannya.

Walaupun begitu, pemenang tempat kedua dan ketiga tidak pulang dengan tangan kosong. Jihan berjaya membawa pulang, motosikal jenama Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Amir pula berjaya meraih wang tunai sebanyak RM8,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: