Friday, March 13, 2009

Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta - Dalam pahit ada manisnya




BIARPUN dibayangi kekecewaan akibat tiada penajaan, namun perasaan pengarah dan penulis skrip Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta (MSJTC), Erma Fatima mula bertukar sedikit bahagia apabila karyanya mendapat 'restu' daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Erma, Sirah Junjungan yang dipentaskan untuk kali pertama sebelum ini dijalankan dengan mengikut syarat yang ditetapkan oleh Jakim disebabkan ia melibatkan jalan cerita berkaitan Nabi Muhammad dan agama Islam.

"Alhamdulillah, MSJTC yang mula dipentaskan 9 Mac lalu tidak berdepan dengan sebarang masalah daripada pihak Jakim.

"Awal teater Sirah Junjungan direalisasikan tahun lalu, Jakim menetapkan beberapa syarat kepada saya sebelum pementasan berlangsung kerana cerita ini dianggap berat.

"Bukannya sembarangan kerana teater ini mempamerkan perjalanan hidup Nabi Muhammad bermula awal kelahiran hingga wafat serta usahanya menyebarkan agama Islam.

"Saya dijelaskan oleh pihak Jakim bahawa watak pelakon yang menyembah berhala tidak boleh diberi kepada individu beragama Islam.

"Selain itu, Jakim awal-awal lagi sudah memberitahu kepada saya watak Nabi Muhammad tidak boleh digambarkan oleh manusia dalam teater ini termasuk dengan watak isteri Nabi, Siti Khadijah.

"Syarat-syarat ini telah saya patuhi sejak pementasan Sirah Junjungan kali pertama diadakan dan pihak Jakim juga turut hadir bagi mengawasi keseluruhan perjalanan teater ini.

"Lantaran itu, saya sudah bersiap-sedia awal-awal lagi dengan mengikut garis panduan Jakim supaya ia tidak melanggar akidah," katanya selepas pementasan MSJTC pada malam pertama di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur Isnin lalu.


VOKAL Siti Nurhaliza turut menyuntik elemen yang berkesan meruntun perasaan ke dalam naskhah Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.


Menerangkan lebih lanjut tentang penambahan adegan tarian Sufi dalam MSJTC, ungkap Erma, dia tidak merasakan perkara tersebut harus menjadi subjek utama yang perlu diperbesar-besarkan.

"Saya tidak rasa tarian Sufi yang ditonjolkan ini melanggar akidah walaupun saya sengaja menambah adegan dalam MSJTC bagi menyuntik elemen hiburan, namun ia tidak sesekali melalaikan.

"Paling penting, saya mengkaji serta meneliti setiap adegan yang sedia ada termasuk adegan tambahan dengan berpandukan syarat yang ditetapkan oleh Jakim sebelum ini," jelas wanita gigih yang mengetuai Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia.

Kos mencecah RM1 juta

Kali pertama MSJTC dipersembahkan kepada umum, Erma tidak henti-henti meluahkan rasa kesyukuran kerana teater dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1 juta itu berlangsung dengan jayanya, walaupun tidaklah sempurna seperti yang diidam-idamkan.

"Kami berdepan dengan masalah kekurangan masa untuk mengadakan latihan kerana hari Ahad lalu (8 Mac), barulah kami dapat melakukan raptai penuh.

"Tidak dinafikan, banyak adegan yang tidak berjalan dengan lancar, malah setiap malam memang akan ada kekurangan dan kelebihan. Saya tidak duduk di bawah sebagai penonton, sebaliknya selaku seorang pengarah yang sentiasa mencari kesalahan pelakon dan keseluruhan teater ini.

"Banyak lagi adegan yang harus diperbaiki agar MSJTC dapat dijayakan dengan sehabis baik dan kekal dalam ingatan penonton," tutur Erma bersungguh-sungguh.


NASKHAH hebat ini membabitkan lebih 300 pelakon.


Mengimbas semula detik-detik MSJTC ditayangkan pada hari pertama, khalayak seakan-akan terkesima dengan 12 set yang ditonjolkan pada malam tersebut.

Bukan sekadar set biasa, sebaliknya ia mempamerkan set seperti Kaabah, Patung Latar Uzza, Rumah Nabi Muhammad dan Khadijah, Kota Makkah dan Madinah, set semasa perang Abrahah, Badar dan Uhud termasuk Mimbar dan lokasi perbincangan orang Muslim.

Tidak banyak kelemahan yang terdapat dalam MSJTC jika mahu diungkit semula. Teater yang membabitkan lebih 300 pelakon termasuk artis-artis popular tanah air, menampilkan banyak kemanisan berbanding kepahitan.

Berlangsung selama dua jam tanpa henti, namun tidak ada sedikitpun riak kebosanan yang tergambar pada wajah penonton yang hadir, baik golongan muda mahupun yang tua.

Masing-masing ternyata teruja dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui dengan lebih lanjut sejarah hidup Nabi Muhammad dan para sahabat dalam usaha menyebarkan ajaran Islam.

Rabecca meraih perhatian

Dalam pada itu, pujian harus dilayangkan kepada pelakon muda dan jelita, Rabecca Nur Islam, 22, yang membawakan watak Hendon, wanita kejam yang menentang perjuangan Rasulullah dengan baik sekali.


TIDAK dinafikan aura vokal Jamal turut menguatkan jiwa pementasan karya Erma Fatima ini.


Kemunculan seketika Rabecca pantas menggamatkan suasana Panggung Sari dengan watak 'hitam' yang amat terkesan di hati penonton walaupun adegannya tidak besar dan hanya muncul beberapa minit sahaja.

Selain itu, Rabecca juga dapat mewarnai watak wanita yang membelah dada Saidina Hamzah dan mengunyah jantungnya dengan cukup mendebarkan. Walaupun hanya di sebalik tirai, namun jiwa bergelora, dendam dan amarah Hendon tetap mampu dirasai oleh penonton.

"Untuk membawakan watak ini, saya harus mendalami diri sebenar Hendon yang memiliki semangat juang tinggi membalas dendam atas kematian orang tersayang dalam hidupnya.

"Untuk memastikan watak Hendon nampak menjadi, saya melakukan latihan berkali-kali dalam tempoh hampir tiga minggu hingga mengakibatkan badan saya sakit dan lebam.

"Walaupun ramai yang berpendapat saya ibarat wanita yang lemah-lembut di luar set penggambaran, namun dalam membawakan watak Hendon, saya mampu mengubah diri dengan sebaik mungkin.

"Terima kasih kepada Erma dan seluruh tenaga produksi MSJTC yang memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjayakan watak Hendon.

"Semasa belajar di sekolah sebelum ini, saya sudah mengetahui tentang sejarah Nabi Muhammad dan Hendon.

"Sedikit sebanyak, saya dapat menzahirkan watak ini mengikut kemampuan sendiri kerana ia cukup dekat dalam hati saya," luah Rabecca dalam getaran suara perlahan.

Vanidah tetap gementar

Walaupun hanya mendengar suara dan bayangannya terlihat di sebalik tirai, watak Siti Khadijah yang dipegang oleh pelakon jelita, Vanidah Imran tetap mempamerkan kekuatan tersendiri yang sukar dipertikaikan.

Beritahu Vanidah, dia sendiri tidak dapat menahan kegembiraan apabila ditawarkan memegang watak sebagai isteri Nabi Muhammad, walaupun penonton hanya dapat melihat bayangan dirinya sahaja.

"Walaupun watak ini tidaklah sebesar mana, namun saya lihat watak Siti Khadijah amat berat untuk direalisasikan dalam pementasan ini.

"Saya kena luahkan dialog dengan sepenuh perasaan walaupun wajah saya tidak dapat dilihat dengan jelas oleh penonton.

"Sukar sebenarnya kerana saya harus melontarkan ketepatan dialog dengan seimbang tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan, namun dalam waktu sama, penonton mampu merasai jiwa sebenar Siti Khadijah.

"Walaupun sudah lama berlakon, namun semasa kaki hendak melangkah naik ke pentas, saya tetap gementar takut-takut tidak mampu memberikan yang terbaik untuk watak ini.

"Alhamdulillah, semasa berada di pentas, saya sudah mula berasa selesa sekali gus dapat menumpukan sepenuh perhatian," terang Vanidah yang tetap kelihatan ayu walaupun muncul tanpa mengenakan sebarang solekan.

Selain Rabecca dan Vanidah, antara pelakon yang membarisi teater ini ialah Mazlan Tahir (narator Muhammad), Ahmad Yatim (Abu Talib), Yus Waisar (Abu Bakar), Rosdeen Suboh (Maisarah), Shahronizam Noor (Hamzah/Sawadah) dan Aman Graseka (Usman).


BIARPUN tidak meraih sebarang tajaan, naskhah ini sebaliknya memiliki jiwa yang besar.





Selain daripada itu, Wong Sip Nen (Umaiyah Khalaf), Jeganathan (Nabih/Abu Sofyan), Norsiah Yatim (Perempuan/Fatimah), Abu Bakar (Ayah/Abu Al- Bakhtari), Jesse Lim (Najdi/Abrahah/Washi), Lakshman (Talha/Abu Lahab) dan Taiyuddin Bakar (Bilal) juga membintangi MSJTC.

Kepada sesiapa yang masih belum berkesempatan menyaksikan MSJTC, jangan lupa beramai-ramai pergi ke Istana Budaya. Pastinya anda akan terpesona apabila menyaksikan keindahan teater berskala besar yang mengangkat rentetan kehidupan Nabi Muhammad dan kesucian Islam sebagai plot penceritaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: