Sunday, March 15, 2009

Kalau sudah jodoh...


SECARA kasarnya, dua merpati ini masing-masing berlainan citarasa. Seorang ke selatan, seorang lagi ke utara. Pada Audi Mok, Nikki sombong orangnya.

Pandangan pertama membuatkan dia ‘tidak suka’ kepada penyanyi itu, malah dia cuba mengelak bertemankan artis. Nikki pula cuba untuk tidak jatuh cinta dengan tipikal pemuda Cina kerana serik hatinya dipermainkan.

Namun atas nama muzikal, mereka dipertemukan pada 1995 apabila Vernon Kedit Jolly mendapatkan khidmat Audi membuat lagu untuk Nikki yang menjadi artis pertama Artiste United (AU). Ketepikan soal personal, Audi menerima lamaran itu secara profesional.

“Bermula di situ, saya mula kenal Nikki secara lebih dekat. Lapan bulan kami bersama untuk siapkan Maharani, dari situ saya dapati dia seorang yang baik. Berbeza dengan pandangan pertama saya, Nikki sebenarnya lembut hati, bijak, cara dia berfikir, dia ada nilai kekeluargaan.

“Walaupun luaran nampak sombong, tetapi nilai dalamannya yang membuatkan saya jatuh hati. Saya mula nampak persamaan kami, termasuk etika cara kerja yang sangat profesional.

“Biarpun perkenalan kami atas tiket kawan ketika itu, saya sedikit keliru dengan perasaan sendiri. Saya anggap kawan, tetapi ada perasaan lain yang menyelinap,” kata pencipta lagu Sampai Syurga ini.

Manakala Nikki pula, mulanya berhasrat untuk memadankan Audi dengan kakaknya yang juga pemuzik. Namun percubaan itu asyik tertangguh sehingga masa ‘penangguhan’ itu, Nikki dan Audi semakin mengenali hati budi.

“Kerap kami bertemu dengan harapan kakak saya akan muncul, tetapi dia sibuk memanjang. Lalu saya dan Audi habiskan masa berdua dan tanpa disangka, dialah lelaki yang saya cari selama ini, sesuai dengan citarasa saya.

“Bukan daripada pandangan fizikal, tetapi saya lebih memandang hati budinya,” kata Nikki yang menghabiskan masa dua bulan untuk ‘meregukan’ dengan Audi.

Kalau sudah jodoh, ia takkan ke mana. Cuma perjalanan cerita cinta itu yang berlainan. Akhirnya dua insan seni ini bersepakat memilih 27 Jun ini sebagai tarikh perkahwinan mereka. Tiada yang istimewa mengenai tarikh itu, tetapi itulah hari yang mereka tidak terikat dengan komitmen lain.



Perkahwinan akan dilangsungkan di sebuah gereja di Petaling Jaya. Bagaimanapun, kata Audi, seboleh-bolehnya dia mahukan ikatan penting saja dan tidak membabitkan majlis besar-besaran atau mengikut tradisi adat perkahwinan Cina.

“Kadangkala kena fikir juga keluarga. Saya dua beradik saja, jadi ibu bapa saya mahukan majlis perkahwinan sebagaimana biasa dengan adat istiadat perkahwinan tradisi. Nasib baik mereka faham yang saya tak suka buat besar-besaran.

“Saya ‘simple’ orangnya, jadi tak payah lebih-lebih,” kata pemuda berusia 38 tahun ini.

Biarpun persiapan perkahwinan belum sepenuhnya, Audi tetap sibuk dengan karier muziknya. Begitu juga Nikki yang baru muncul dengan album baru, Hawa.

Menurut Audi, seboleh-bolehnya dia tidak mahu cerita perkahwinan ini lebih besar daripada hasil seninya. Namun dia faham dengan keperluan media dan publisiti itu juga penting untuk Nikki.

Nikki pula tidak dapat menolak permintaan media, tetapi dia yakin dengan kemampuan album barunya untuk menerjah pasaran yang semakin perlahan sekarang. Malah promosi Hawa akan diteruskan walaupun selepas mereka bergelar suami isteri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: