Sunday, March 15, 2009

Mengalukan wartawan

jari manis Emelda di Tambun, Ipoh, semalam." title="GEMBIRA...Ruminah (kanan) menyarung cincin tunang ke
jari manis Emelda di Tambun, Ipoh, semalam." border="0" width="300" height="206">
GEMBIRA...Ruminah (kanan) menyarung cincin tunang ke
jari manis Emelda di Tambun, Ipoh, semalam.

IPOH: “Saya tidak mahu masalah wartawan yang biasanya tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan artis lain terjadi pada perkahwinan kami. Asalnya majlis pertunangan ini mahu diadakan secara kecil-kecilan saja, tetapi apabila ada wartawan datang, lain pula jadinya. Kami mengalu-alukan kehadiran mereka yang membuatkan majlis lebih meriah.

“Tiada hasrat untuk menyorokkan pertunangan ini, tetapi sesiapa saja (wartawan) yang datang, kami terima dengan hati terbuka. Perancangan asal, kami mahu menjemput semua kawan wartawan pada majlis perkahwinan nanti,” kata Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, yang mengikat tali pertunangan dengan Adlin Aman Ramli, 37, juga pelakon, pengarah filem dan penulis skrip selepas empat tahun menyulam kasih, di Ulu Kinta, di sini, semalam.

Sebelum ini majlis pertunangan mereka asyik tertangguh kerana jadual kerja yang padat. Memahami perkara yang baik tidak elok tertangguh terlalu lama, Emelda dan Adlin sepakat memilih 14 Mac untuk mengadakan majlis pertunangan itu kerana ia juga hari jadi Emelda ke-29.

Emelda yang mengenakan baju kurung moden rona putih rekaan Kia Conggo kelihatan berseri-seri menanti rombongan peminangan keluarga Adlin dari Kuala Lumpur. Rombongan disertai enam kereta itu yang sepatutnya tiba jam 11 pagi terlewat sedikit kerana kesesakan jalan raya. Pun begitu, debaran Emelda berakhir sebaik melihat rombongan peminangan tiba di halaman rumahnya pada jam 12.30 tengah hari.


Rombongan keluarga Adlin diketuai adik ibunya, Rosminah Sidek (Mak Mah) iaitu Rosnan Sidek. Majlis diteruskan dengan acara peminangan, di mana keluarga Adlin menyerahkan tujuh dulang hantaran dan berbalas sembilan daripada keluarga Emelda. Bagaimanapun, jumlah hantaran itu bertambah kerana saudara mara Emelda turut membawa kuih muih untuk diberi kepada bakal pengantin lelaki.

Barang hantaran untuk Emelda termasuk tepak sirih, sepasang baju, coklat, buah-buahan dan kek. Adlin pula menerima buah-buahan, coklat, baulu, biskut, limau bali, tali pinggang dan kemeja-T.

Seterusnya Rosnan menetapkan wang hantaran sebanyak RM29,000 dan mas kahwin berjumlah RM1,001. Atas rasa kesyukuran bakal menerima menantu baru, Mak Mah menambah RM1,000 lagi menjadikan jumlah wang hantaran RM30,000. Tarikh persandingan pula ditetapkan pada 23 Mei ini iaitu sempena hari jadi Adlin ke-37 tahun.

Meneruskan acara, kakak Mak Mah, Jumaiyah Sidek menyarung cincin emas putih bertakhta berlian ke jari manis Emelda disaksikan Mak Mah. Adlin yang turut hadir segak berbaju Melayu rona sama. Malah, jarinya turut disarungkan cincin perak oleh bakal ibu mentuanya, Rokiah Ibrahim.

Ketika ditemui selepas selesainya majlis pertunangan itu, Emelda berkata, dia gembira dan lega kerana majlis pertunangan berjalan lancar.

“Majlis merisik diadakan pada 8 Ogos lalu dan sepatutnya majlis pertunangan disegerakan, tetapi sering tertangguh kerana jadual kerja yang padat.

“Sekarang Adlin menjadi pengkritik AF7 (Akademi Fantasia musim ketujuh) pula. Emak yang baru sihat selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam pankreas mahu kami menyegerakan majlis pertunangan.

“Jadi saya dan Adlin berasakan tarikh hari jadi saya sebagai tanda kenangan paling manis. Untuk majlis persandingan, kami pilih hari jadi Adlin. Semoga jodoh kami berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.

Adlin turut bersyukur kerana mereka selamat ditunangkan dan kini sibuk membuat persiapan untuk majlis persandingan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Majlis kenduri dan persandingan akan diadakan di tiga tempat iaitu di rumah Emelda, di kampung ibu saya di Meru, Klang dan Kuala Lumpur bagi meraikan kawan,” katanya.

Emelda yang terkenal menerusi lakonan mantapnya dalam drama Manjalara dan Kekasih Ku Seru mula mengagumi Adlin selepas menyaksikan lakonannya dalam filem Puteri Gunung Ledang yang memegang watak Sultan Mahmud. Dari situ perkenalan bermula sehingga terbit bunga cinta di antara mereka.

Adlin dan rombongan peminangannya beredar dari rumah Emelda pada jam 3 petang berikutan sebelah malamnya Adlin akan muncul dalam konsert mingguan AF7 yang pertama. Hadir sama, sahabat karib Adlin; pengarah, penerbit filem dan penulis novel, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Turut kelihatan pada majlis itu kakak Emelda, Amylia Rosnaida. Bagaimanapun suaminya, AC Mizal tidak dapat hadir kerana membuat persediaan mengacarakan konsert minggu pertama AF7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: