Sunday, March 15, 2009

Adlin-Emelda bertunang, bakal disatukan 23 Mei ini

Emelda bersama bakal ibu mertuanya, Rosminah Sidek pada majlis pertunangan itu

EMPAT tahun pasangan kekasih ini menyulam cinta. Dalam tempoh itu, pelakon, pengarah dan penggiat teater popular Adlin Aman Ramli dan kekasih hatinya, aktres Emelda Rosmila cukup gemar bersikap 'low-profile' daripada berbicara tentang kisah cinta mereka, meskipun hubungan mereka itu bukan lagi rahsia.

Pasangan selebriti ini akhirnya mengikat tali pertunangan tengah hari semalam, bertempat di kampung halaman Emelda sendiri iaitu di Ipoh, Perak.

Hari yang pastinya membawakan kebahagiaan berganda buat Emelda kerana dia turut menyambut hari lahirnya yang ke-29 semalam.

Jika kali ini giliran Emelda 'diraikan', Adlin pula akan merasai kegembiraan yang sama pada 23 Mei depan apabila kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan majlis perkahwinan pasangan itu pada hari tersebut bersamaan dengan hari lahir Adlin yang ke-37.

Pada majlis pertunangan mereka semalam, Emelda menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Setelah empat tahun bercinta, Adlin dan Emelda akan melangsungkan majlis perkahwinan mereka 23 Mei depan

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ibu Adlin sendiri, aktres Rosminah Sidek dan rakan artis, Afdlin Shauki.

Wang hantaran juga telah ditetapkan iaitu sebanyak RM30,000 serta mas kahwin berjumlah RM1001.

Walaupun baru selesai mengadakan majlis pertunangan, nampaknya itu tidak manghalang Adlin untuk meneruskan tugasnya apabila muncul sebagai pengkritik tetap Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria, malam tadi.

Sepanjang berlangsungnya program itu, Adlin dengan wajah ceria dilihat acapkali memberitahu dirinya sudah bertunang! Mungkin masih terasa bahang kegembiraan setelah majlis pertunangannya berjalan lancar.

Tahniah untuk Adlin dan Emelda!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: