Monday, March 16, 2009

Erra tolak berlakon dengan anak?


David Teo (dua dari kiri) bersama barisan pelakon yang menjayakan drama Mertua vs Menantu.


SUATU ketika dahulu, apabila penerbit drama bersiri Mertua vs Menantu, David Teo menyatakan bahawa ratu filem, Erra Fazira secara eksklusif bakal muncul dalam drama terbitannya, ramai yang mempersoalkan mampukah si jelita itu membawa impak sebaik filem lakonannya kepada drama tersebut.

Tidak lama selepas itu, apabila Erra disahkan sedang hamil bayi sulungnya, semakin ramai peminat yang teruja menanti kemunculan Erra untuk melihat sendiri perubahan fizikal Erra sesuai dengan watak lakonannya, Nurul Ain yang sedang hamil ketika itu.

Kronologi tersebut ternyata membawa ‘pulangan’ besar bukan sahaja kepada krew penerbitan malah, kepada barisan pelakon siri itu sendiri.

Apa yang membanggakan, drama yang mengupas perjalanan kisah ‘perang dingin’ antara mertua dan menantu itu berjaya mencatat rating sehingga mencecah 900,000 penonton walaupun baru bersiaran di minggu yang ke-10 akhir Disember lalu.

Kejayaan drama 26 episod arahan Feroz Kader yang bersiaran setiap Rabu pukul 10 malam itu ‘merampas’ kedudukan rating tertinggi antara program-program yang disiarkan di Astro Prima membuahkan idea kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG) itu untuk membawa siri tersebut ke musim yang kedua.

Tanda tanya sekali lagi melanda peminat siri tersebut apabila David menyatakan keinginannya untuk ‘melamar’ bayi Erra dan Engku Emran itu sebagai anak kepada Nurul Ain untuk musim kedua nanti.

Pasti ramai yang ternanti-nanti babak kedua siri tersebut yang khabarnya lebih menarik apabila kehidupan keluarga yang sebelum ini dingin kerana perbalahan mertua dan menantu disertai orang baru, anak Nurul Ain dan Rosyam.

Tidak sesuai

Bertemu Erra pada majlis kesyukuran drama tersebut yang diadakan di Restoran Lemon, Sri Kembangan baru-baru ini, persoalan tentang ‘lamaran’ itu diajukan kepadanya.

“Sebenarnya saya rasa tidak sesuai jika anak saya nanti turut terlibat dalam drama ini. Lagipun, pengambaran untuk musim kedua bakal bermula pada Mei ini dan ketika itu anak saya baru berusia dua bulan.

“Memang tidak berapa sesuai sebab ketika itu dia (anak) masih terlalu kecil. Lagipun, keputusan ini datangnya bukan dari saya seorang,” jelas Erra.

Menurut Erra, dia tiada masalah untuk kembali aktif berlakon dan menyanyi selepas dua bulan berehat dan berpantang.

Bercerita tentang album solonya bersama SRC yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi, kata Erra, konsep dan lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut lebih terarah dan bersesuaian dengan dirinya yang ‘baru’.

“Dua daripada lagu-lagu tersebut sudah dirakamkan manakala empat lagu lagi sudah siap muziknya. Sekarang, kena duduk dan berbincang semula tentang konsep lain berbeza dengan album-album dahulu.

“SRC nak siapkan secepat mungkin sebab mereka rancang untuk siap sebelum Ramadan, sebab itu habis saja pantang saya terus kerja,” katanya.

Antara produser yang terlibat dalam album tersebut ialah Along Exist, Sharon Paul, Mukhriz dan Helen Yap.

Percubaan pertamanya ke ‘dunia’ lakonan drama ternyata membuahkan impak yang bukan kecil buat Erra.

Bukan sahaja berjaya mencapai rating tertinggi berbanding program-program lain yang ditayangkan di Astro Prima malah, turut mendapat maklum balas positif di kalangan peminat.

Mengulas mengenai drama lakonannya itu, kata Erra: “Mungkin disebabkan oleh jalan ceritanya yang menarik. Walaupun isu yang cuba dibawa agak serius tetapi cara penyampaian komedinya kira menjadi.

“Karakter sebagai Nurul Ain dalam cerita ini sebenarnya sempoi dan tenang. Walaupun dia kelihatan seperti tomboy tetapi dia bukanlah terlalu terarah kepada lelaki, cuma perwatakan dia kasar,” kata Erra.

Bercerita tentang kontraknya sebagai Wajah Eksklusif Astro, ujar Erra ia merupakan tindakan yang wajar buat dirinya memandangkan sudah berbelas tahun dia hanya terlibat dengan produksi filem.

“Saya sebenarnya sudah lama berhajat untuk ke drama tetapi tidak tahu nak mula dari mana. Bila Astro buat kontrak sebegini, ia sebagai satu peluang untuk saya masuk.

“Sekurang-kurangnya, saya ada eksklusif di situ dan saya anggapnya sebagai satu perubahan yang baik,” katanya.

Lisa, Farid dalam Mertua vs Menantu 2?

David ketika ditemui pada majlis yang sama memberitahu pengambaran musim kedua siri tersebut bakal bermula pada Mei depan sejurus Erra selesai berpantang.

Bercerita tentang ‘pembaharuan’ yang bakal mewarnai jalan cerita Mertua vs Menantu musim kedua nanti, selain konflik berterusan antara mertua dengan menantunya, kehadiran cucu menambahkan lagi ‘kekalutan’ hidup Nurul Ain dan mertuanya, Datin Faridah.

“Musim kedua nanti adalah cerita tentang keluarga yang baru dapat baby. Selepas menantu bersalin, mertua akan dapat cucu dan ketika itu kita akan lihat bagaimana mertua layan cucu dan membuat pilihan siapa lebih penting antara cucu dengan menantu.

“Selain membawa kehadiran cucu, pembaharuan lain yang bakal kita buat kemungkinan besar ialah penglibatan pelakon Farid Kamil dan Lisa Surihani.

“Tentang anak tawaran kepada anak Erra, setakat ini kita masih lagi berusaha. Bagaimanapun, yang penting kita biar Erra selamat melahirkan terlebih dahulu, sebab kita tidak boleh buat apa-apa janji lagi kerana bayi belum lahir lagi,” katanya.

Selain drama tersebut, drama terbaru terbitan MIG yang bakal menyusul ialah 3 Janda yang bakal memulakan pengambaran awal Mac ini dan dibarisi oleh pelakon terkenal, Rozita Che Wan dan Lisa Surihani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: