Monday, March 16, 2009

Imbauan nostalgia cinta Adam

SETIAP kali mendengar bait-bait lagu Kau Pergi Jua yang berkumandang di radio, terbayang di mata kita seraut wajah penyanyi hitam manis bermata sayu dan bersuara lunak itu.

Biarpun lagu itu sudah lebih dua dekad usianya, namun karya yang menggambarkan keluh kesah jiwa seorang jejaka kehilangan kekasih hati, benar-benar meruntun jiwa yang menghayatinya.

Lagu dan lirik yang masih melekat di jiwa itu seolah-olah menggambarkan si pelontar lagu berkenaan memilih untuk terus bersendirian setelah kehilangan kekasih.

Apakah begitu hidup si penyanyi dan pencipta lagu yang pernah mencipta nama sekitar 1983 dan 1990-an, Adam Ahmad?

Benarkah kerana ditinggalkan kekasih hati, Adam yang berusia 45 tahun serta pernah muncul dengan dua album terbitan Omry Record (Family Group Musical) Bersamamu (lagu Omar Taib) dan Kau Pergi Jua, terus menyepikan diri daripada bidang seni suara tanpa khabar berita?

Ada lagi persoalan lain mengenai penyanyi dan komposer itu yang terus bermain di fikiran peminat yang masih belum terjawab.

Persoalan yang dimaksudkan ialah benarkah lagu Janji Manismu nyanyian Aishah yang dinobatkan Juara Lagu ke-5 (1990) yang pernah melonjakkan nama Adam dalam bidang penciptaan lagu menyimpan rahsia hidup dan kisah cinta penyanyi ini?

Pertemuan dengan penyanyi yang juga lulusan diploma dalam bidang muzik ini, ia seperti membayangkan lagu Janji Manismu menterjemahkan rahsia hati Adam selama ini.

Adam yang kini kelihatan berisi tersenyum pahit apabila ditanya kenapa memilih untuk hidup membujang.

Benarkah kerana putus cinta, Adam dikatakan tertekan jiwanya hingga membuatkan dirinya tidak keruan?

“Memang betul saya pernah putus cinta tapi... itu adalah perkara biasa dalam bercinta. Dah tak ada jodoh. Tapi... saya masih okey dan tidak apa-apa. Saya tidak pernah sakit jiwa,” tegas Adam yang kini menetap bersama ayah dan kakaknya di Taman Cempaka, Kuala Lumpur dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini,

Itu semua karut

Barangkali juga, itulah pertemuannya dengan media selepas hampir sedekad memilih untuk menjauhkan diri daripada lensa kamera.

“Malah, sejak sekian lama menyepikan diri saya sudah mencipta 15 buah lagu irama nusantara dengan lirik yang pasti menyentuh hati para pendengar terutama peminat saya dahulu.

“Kalau ada orang kata kerana putus cinta tak betul, itu semua karut. Tengok Adam Ahmad sekarang masih seperti Adam Ahmad 25 tahun dulu ketika album Kau Pergi Jua keluar. Cuma sekarang badan saya berisi sikit,” katanya menyambung perbualan.

Lebih sejam berbual dengan Adam, nyata jarak masa yang memisahkannya dengan dunia seni tidak pernah dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Buktinya pada Mac ini, Adam akan ‘melahirkan’ seorang penyanyi baru yang mempunyai suara tidak kurang hebatnya.

Bintang muda bernama Aizad itu juga katanya, akan mendendangkan semula lagu Kau Pergi Jua selain lagu lain.

Album yang bakal diterbitkan di bawah syarikat FGM itu bakal membuktikan ‘pertapaannya’ selama ini selain pengalaman dan ilmu muzik yang dimilikinya bukannya dipersiakan.

“Selama menghilangkan diri daripada mencipta lagu, sebenarnya saya banyak pergi belajar ke studio-studio rakaman yang kini semakin canggih.

“Dengan pembelajaran itu, saya yakin mampu melakukan yang terbaik apabila di studio. Cuma saya tidak boleh terima lagu-lagu hari ini yang kebanyakannya diambil seratus peratus daripada Barat.

“Hilang seni kita. Saya tidak tahu kenapa kita harus hilangkan identiti dan seni yang kita ada semata-mata terpengaruh dengan muzik dan elemen pengaruh dari luar negara.

“Sebab itu saya harap lagu-lagu saya yang akan dinyanyikan oleh Azad akan dapat diterima semua kerana dia bagaikan penyambung perjuangan Adam Ahmad dalam bidang nyanyiaan,” katanya sambil memetik gitar dengan iringan suara Azad yang bagaikan jelmaan Adam di zaman mudanya.

Bagi Adam, walaupun sekian lama ‘bertapa’ dan banyak lagu yang diberikan kepada komposer seperti Adnan Abu Hassan tidak mendapat respons daripada penyanyi popular hari ini, namun dia tidak pernah kecil hati.

“Dunia seni ini terlalu indah. Apabila kita mahu berbicara tentang seseorang artis, ia memang terlalu sukar. Sebab itu saya tidak pernah patah semangat apabila lagu ciptaan saya ditolak oleh penyanyi popular.

“Sebagai pencipta lagu, saya berpegang kepada yang satu bahawa setiap apa juga yang kita terima adalah atas ketentuanNya.

“Mungkin hari ini mereka memandang nama saya dan tidak lagu saya, tetapi saya sedar benih yang baik jatuh ke laut akan menjadi sebuah pulau,” kata Adam berkias.

Menyedari hakikat itu, kata Adam, dia lebih rela menyerahkan lagu-lagu ciptaannya kepada Azad yang bukan sahaja memiliki suara yang lunak didengar.

Malah pelakon, penyanyi muda dan berbakat ini mempunyai wajah yang menarik.

“Realitinya di Malaysia sekarang, kalau nak jadi penyanyi bukan sahaja mesti mempunyai suara tapi yang penting mempunyai rupa. Faktor inilah yang akan membantu penjualan album dan penerimaan masyarakat terhadap mereka.

“Dulu lain, tetapi zaman berubah dan kita terpaksa menerima hakikatnya begitu. Namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya,” kata Adam.

Walaupun Adam kini mahu menumpukan kerja-kerja di belakang tabir, dengan menerbitkan album dan lagu-lagu ciptaannya, tetapi dia tidak keberatan jika ditawarkan merakamkan album.

“Jika ada syarikat menawarkan saya merakamkan album, saya bersedia tetapi saya mahu irama nusantara yang sesuai dengan jiwa saya. Bukannya irama muzik hari ini yang lebih banyak diceduk dari barat,” kata Adam mengakhiri perbualan kami pada petang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: