Monday, March 16, 2009

Joe mahu jadi ‘Presiden’

KEMBARANYA ke beberapa negara di rantau Eropah serta Amerika Syarikat (AS) menawarkan anak muda ini ilmu kehidupan yang lumayan nilainya.

Tanpa kelana itu, barangkali, dia tidak tahu bagaimana perkembangan tamadun manusia di rantau yang jauhnya beribu-ribu kilometer dari bumi Malaysia.

Bahkan, menerusi kembara itu juga, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak semakin memahami maksud pepatah Melayu yang menyebut jauh berjalan luas pengalaman.

Semenjak dua tahun kebelakangan ini, Joe banyak merantau dan sepanjang siri jelajahnya, dia melihat kehidupan dan ragam manusia dari pelbagai perspektif.

Dan pengalaman paling istimewa juga ialah ketika merantau ke AS melihat proses pemilihan Presiden baru negara itu, Barack Obama dari dekat.

Seolah-olah menjadi satu fenomena yang melanda dunia, situasi ini memberi ilham dan keinginan kepada Joe untuk menjadi seorang presiden.

Bagaimanapun, jangan pula ada yang salah sangka. Keinginan tersebut bukan bermakna Joe ingin bergiat dalam bidang politik.

Sebaliknya, Joe berazam menjadi pejuang muzik hip hop tersohor serta ingin menjadi orang nombor satu dalam dunia seni yang diceburinya.

Bagi pengasas kumpulan duo hip hop, Too Phat ini, tidak mustahil untuk seseorang itu merasai nikmat sebagai seorang yang berkuasa dalam lapangan yang diceburinya.

Lantaran itu, iltizam dan aspirasinya dizahirkan Joe menerusi judul album solo pertamanya, President.

Memuatkan sebanyak 14 lagu, pastinya genre hip hop menjadi keutamaan penyanyi ini.

Namun begitu, kelainan yang ditampilkan kali ini ialah apabila dia menggabungkan genre hip hop dengan muzik berentak balada, jazz dan R&B.

Dan anak kelahiran ibu negara ini memerah idea dan tenaga selama hampir dua tahun untuk menghasilkan President.

Hasilnya, Joe berpendapat, ia bukan kerja yang sia-sia kerana kerana album solo sulungnya ini disifatkan mempunyai tahap dan kualiti sebuah album yang tinggi.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan album ini menyamai kualiti album hip hop antarabangsa.

Menurut Joe, album ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ada sebahagian lagu yang dimuatkan, dihasilkan di serata dunia tatkala Joe menyertai road show tour serata Asia seperti di China dan Singapura.

“Apa yang membuatkan saya teruja ialah ia menyaksikan kolaborasi saya bersama-sama teman seperjuangan dari pelbagai negara.

“Idea ini memberikan dimensi baru dalam album solo sulung saya ini,” ceritanya penuh bersemangat.

Antara karyawan muzik dari luar yang turut berkongsi idea dalam President ini ialah Hardy Mirza dan TerryTyeLee dari Singapura, Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia), Jin (AS) selain Phlowtron (Malaysia).

Namun begitu, jejaka berusia 30 tahun ini juga menyifatkan dia paling bertuah apabila menerima panggilan daripada Lawrence Krishna Parker (KRS-One) yang menyatakan persetujuannya untuk bergandingan dengan Joe dalam lagu Get It Done.

“Seakan bermimpi apabila lagenda hip hop itu menyatakan persetujuannya untuk berduet dengan saya,” kata Joe yang sangat berbesar hati dengan tawaran itu.

Jejaki pasaran antarabangsa

Berbekalkan keyakinan yang tinggi di samping berbekalkan dengan produk yang berkualiti, Joe dan pihak pengurusannya sedang berusaha menjejaki pasaran yang lebih luas untuk album ini.

Bermula di Malaysia, album ini juga bakal dipasarkan di negara jiran Indonesia dan jika segala-galanya berjalan lancar juga, Joe mahu menakluk pasaran lebih besar iaitu di AS.

Mungkin bagi segelintir pihak, ia sekadar omongan sedangkan hakikatnya, Joe telah merancang strategi cukup teliti dalam merealisasikan impiannya.

Sebagai rekod juga, album President turut mendapat sentuhan daripada penerbit tempatan dan luar negara.

Kolaborasinya dengan nama-nama besar seperti TerryTyeLee (penerbit Singapura yang kini menetap di Taiwan), Khan (Thailand), DJ Cza (Indonesia), Koko (penerbit yang berpusat di San Francisco), Don M dan Syaheed dilihat mampu mencari ruang pasaran antarabangsa buat Joe.

“Saya tidak akan tahu sejauh mana kebolehan dan kualiti saya sebagai penyanyi selagi tidak keluar dari lingkungan negara kita,” ujarnya.

Pun begitu, dalam konteks perkembangan ekonomi global yang sedang melalui fasa kegawatan, Joe masih lagi optimis untuk merealisasikan hasratnya itu.

Bagi Joe, strategi pemasaran daripada pihak syarikat rakaman adalah perlu dalam memastikan ekonomi tidak mempengaruhi penjualan albumnya.

Isabella jadi taruhan

Apa yang menariknya, album solo Joe ini juga turut memuatkan sebuah lagu malar segar, Isabella (dendangan asal kumpulan Search).

Isabella merupakan lagu kegemaran Joe.

Titik permulaan kepada rakaman semula lagu ini dibuat oleh Joe ketika dia dan penyanyi asalnya, Amy membuat persembahan untuk sambutan Tahun Baru 2008 lalu.

Joe telah meluahkan hasratnya untuk melakukan perubahan pada lagu Isabella dalam versi remix.

Dan Amy memberikan jawapan yang positif serta memberi sokongan kepada idea kreatif anak muda itu.

Apa jadi pada Too Phat?

Sudah tentu juga, kehadiran Joe secara solo kali ini menimbulkan spekulasi apakah benar Too Phat sudah berkubur?

Menyangkal dakwaan tersebut, Joe berkata, buat masa ini, tidak ada perancangan album untuk kumpulan Too Phat.

“Memandangkan teman saya Malique sudah berkahwin, tanggungjawabnya semakin bertambah. Ini menyukarkan Malique untuk memberi komitmen kepada Too Phat.

“Keadaan ini saya manfaatkan untuk hadir secara solo. Terus-terang saya katakan belum ada perancangan untuk kami (Too Phat) muncul dengan album baru dalam masa terdekat ini. Tambahan pula, saya perlu fokus pada President,” tambah Joe lagi.

Jika Malique sudah berkahwin, bagaimana pula dengan Joe?

Secara peribadi, Joe mengakui, dia belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

Baginya, perkahwinan adalah perkara yang penting dan serius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: