| DUNIA lakonan sudah cukup sebati dengan Nik Shahri'ah Nik Dir, 25 atau Nisha Dirr. Gadis kelahiran Kuala Lumpur pada 7 Disember 1983 ini sudah membuktikan bakat lakonannya apabila membintangi lebih 40 drama dengan membawakan pelbagai watak yang disiarkan di beberapa stesen televisyen. |
Paling ketara kejayaan membawa watak Tania dalam drama bersiri popular Spa Q (TV3) yang ternyata meninggalkan kesan tersendiri buatnya. Jika musim pertama Nisha diberi peranan wanita gedik dan mengada-gada sehingga membuatkan penonton menyampah melihat aksinya, musim ini perkembangan karakter Nisha membuatkan penonton bersimpati dengan nasibnya.
"Berbanding siri pertama perkembangan karakter Tania lebih berbeza. Daripada watak perempuan gedik, Tania mula berubah kepada watak baik dan cukup setia kepada teman lelakinya.
"Jika watak musim pertama penonton menyampah melihat watak saya sebaliknya pula untuk musim ini. Dulu orang sentiasa keji dan benci Tania namun kali ini peminat lebih simpati.
"Saya sendiri tidak suka melihat aksi lakonan gedik dan mengada-gada. Apatah lagi apabila mengaitkan karakter sebenar di luar yang jauh sekali berbeza. Bagaimanapun, apa hendak buat karakter lakonan memerlukan penampilan begitu. Saya akur dan profesional dalam hal ini kerana ia membabitkan periuk nasi.
"Kadangkala saya sendiri takut kalau peminat beranggapan karakter sebenar seperti dalam lakonan. Saya akui cukup penat untuk menjiwai watak jahat berbanding watak gadis baik. Untuk membawakan watak berkenaan saya sering mendapatkan rujukan daripada pengarah.
"Saya juga kerap menghabiskan masa menonton beberapa filem atau drama berkaitan karakter yang diberikan," katanya.
Pelakon dan model yang menjadikan Nasir Bilal Khan sebagai idolanya ini mengakui gembira dapat bekerjasama dengan kru produksi Spa Q terbitan Global Station Sdn Bhd.
Katanya, peluang berlakon dengan beberapa nama besar dan popular seperti Norish Karman, Azizah Mahzan, Zizie Ezette dan Jasmin Hamid memberikan pengalaman cukup berharga buat dirinya dalam meningkatkan mutu lakonan pada masa akan datang.
"Saya seronok bekerja dengan barisan pelakon dan kru penerbitan Spa Q. Masing-masing boleh bekerjasama antara satu sama lain. Walaupun penggambaran memakan tempoh yang panjang, tidak timbul soal salah faham atau sebaliknya," kata Nisha yang pernah membuat penampilan khas di layar perak menerusi filem Man Laksa arahan Mamat Khalid.
| |
Walaupun karakter lakonan agak feminin, ramai yang tidak tahu gadis yang mula serius dalam bidang lakonan sejak empat tahun dulu ini cukup meminati aktiviti bersukan. Nisha sebelum ini pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan bola jaring selain kerap menghabiskan masa menonton perlawanan bola sepak Liga Kebangsaan bersama teman.
| |
"Mungkin orang lihat saya kerap tampil dengan watak gadis sopan santun. Ramai yang tidak menyangka saya meminati bola sepak terutama membabitkan perlawanan pasukan Selangor dan kebangsaan. Jika berkesempatan saya pasti meluangkan masa menyaksikan perlawanan bola sepak bersama rakan-rakan di stadium.
"Hendak diikutkan saya memang aktif bersukan ketika menuntut di sekolah menengah lagi. Cuma sekarang ini aktiviti sukan agak terbatas disebabkan terikat dengan jadual perjalanan seni.
"Kadangkala saya curi juga waktu untuk melakukan senaman untuk menjaga stamina dan kesihatan sebagai persediaan menempuhi penggambaran yang panjang," katanya.
Nisha yang baru saja selesai penggambaran telefilem 1511 yang berbentuk epik dengan membawakan watak Tun Fatimah bersama produksi Magical Teater untuk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Telemovie khas itu dirakamkan demi memartabatkan tradisi dan budaya masyarakat Melayu.
Berbicara lanjut mengenai karier seni, Nisha bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan oleh pengarah serta produksi tempatan untuk menjayakan watak dalam drama mereka.
"Saya sebenarnya tidak kisah sangat ditawarkan watak apa sekalipun. Saya lebih suka versatil dalam menjayakan watak supaya dapat menonjolkan kemampuan dalam lakonan. Setakat ini, saya memang teringin sangat untuk melakonkan watak gila, nakal atau membabitkan aksi pergaduhan.
"Saya bersyukur kerana rezeki dalam lakonan tidak pernah putus. Paling lama saya berehat pun sekitar dua minggu. Kesempatan waktu lapang itu akan diluangkan bersama keluarga terutama emak yang berada di Port Dickson. Saya pula cukup manja dengan emak. Setiap kali pulang ke kampung pasti terasa seperti sudah tidak mahu berganjak daripada rumah," katanya.
Mengenai pasangan hidup, Nisha yang pernah mengikuti kelas lakonan, vokal, silat wayang dan tarian anjuran Akademi Seniman di bawah bimbingan Aminah Rafor, Siso dan Meor Hashim Manap sekitar tiga tahun lalu memaklumkan belum memikirkan soal jodoh sebaliknya mahu menumpukan karier terlebih dulu.
>Profil
NAMA SEBENAR: Nik Shahri'ah Nik Dir
NAMA KOMERSIAL: Nisha Dirr
TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur
TEMPAT LAHIR: 7 Disember 1983
ZODIAK: Sagitarius
KELUARGA: Anak bongsu dua beradik
KERJAYA: Model dan Pelakon
FILEM: Man Laksa
DRAMA: Misi XX-Ray II, Ha! Cucu Opah Nak Kahwin, Aku Tanpa Cintamu, Dan Jendela Pun Terbuka, Mrs Beckham, Bayangan Wajah, Aku Cinta Aku Rindu, Akademi Cinta, Bisikanmu, Numi Supermodel, Spa-Q I & II, Ku Milik Mu, Nokhtah Dendam dan Paranoid.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: