Friday, March 13, 2009

Benda pelik di Sungai Belat - Pemancing sesat di kawasan sama tiga kali dalam masa dua tahun


AHMAD Nazri menyuapkan makanan ke mulut Razali yang masih lemah di HTAA, Kuantan semalam selepas sesat empat hari di Sungai Belat.


KUANTAN - Penduduk Kampung Belat, dekat sini ada alasan tersendiri yang mendorong mereka memberanikan diri memancing di sebuah sungai di situ walaupun ramai mengakui kawasan itu 'keras' dan 'tidak selamat'.

Puncanya, saiz udang galah di Sungai Belat dikatakan besar.

Namun tidak semua berjaya membawa pulang udang galah. Inilah yang berlaku kepada seorang pemancing berpengalaman, Razali Jaafar, 58. Dia pengsan dan ditemui terdampar di tepi sungai itu oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas sesat sejak empat hari lalu selepas memancing udang galah di sungai itu.

Ini kali ketiga Razali sesat di kawasan hutan nipah itu selepas dua insiden sama sejak dua tahun lalu.

Cerita Razali, dia sedang memancing dalam keadaan lapar di tepi sungai itu pada pukul 7 pagi Isnin lalu sebelum terlihat seekor kambing gurun putih bersama seorang wanita.

Dia mendakwa wanita itu membawa banyak makanan dan mengekorinya sehingga ke hilir sungai.

"Sedar tak sedar, hari dah gelap. Saya cukup lesu lalu rebah. Bila sedar dari pengsan, saya dah terbaring di tebing sungai,''ceritanya semasa ditemui di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.

Razali terperangkap apabila air begitu cepat pasang melepasi paras kepala sehingga memaksa dia bermalam di situ.

Esoknya, dalam keadaan lesu, dia ternampak orang ramai termasuk yang memakai seragam anggota Bomba dan Penyelamat mencarinya tetapi jeritannya tidak didengari sesiapa.

Begitulah juga pada hari ketiga, Razali yang kelesuan cuba memanggil anggota penyelamat yang masih mencarinya tetapi suaranya sudah tidak keluar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: