Thursday, March 19, 2009

5 pelancong Arab ditahan didakwa pukau juruwang


RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang suspek warga Arab selamba mengambil wang dari kaunter sebuah stesen minyak di Teluk Sisek, Raub malam kelmarin.


KUANTAN – Kegiatan pelancong keturunan Arab memukau serta menyamun yang semakin menjadi-jadi di beberapa negeri di Pantai Timur akhirnya bertemu buku dengan ruas malam kelmarin.

Semuanya gara-gara tindakan seorang juruwang yang ‘tersedar’ daripada pukau selepas kira-kira 30 minit kedai runcit tempat dia bekerja di Hentian Rehat dan Rawat (R & R) Gambang di sini dijadikan sasaran sebuah kumpulan pukau.

Mangsa yang berusia 24 tahun itu terus menelefon polis. Hasilnya, tiga lelaki dan dua wanita berusia 14 hingga 23 tahun ditahan di sebuah stesen minyak berdekatan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, kejadian pukau dan samun di kedai runcit itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam membabitkan tiga lelaki dan dua wanita keturunan Arab.

“Seorang suspek menghampiri kaunter dan berpura-pura hendak tengok duit kertas RM100 tetapi tidak diendahkan oleh juruwang.

“Mereka kemudian membeli rokok dan sewaktu menyerahkan kotak rokok itulah mangsa mendakwa dia terasa dipukau,’’ katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Kira-kira setengah jam kemudian, mangsa tersedar dan mendapati wang tunai RM200 dalam mesin juruwang telah hilang.

Kamaruzzaman berkata, siasatan mendapati kumpulan pelancong itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Tambahnya, kesemua pelancong itu ditahan reman empat hari mulai semalam untuk membantu siasatan.

Kes pukau dan samun membabitkan kumpulan yang didakwa warga Arab berleluasa akhir-akhir ini, antaranya kes sepasang warga Arab menyamun RM250 dari sebuah stesen minyak di Teluk Sisek, Raub dua hari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: