Thursday, March 19, 2009

"Saya kini adalah Nurul Wahab"


NURUL kini mahu bangkit semula dan berdiri atas namanya sendiri. - Gambar KOLEKSI PERIBADI NURUL


HAMPIR 15 tahun menjadi artis, tidak dinafikan anak jati Pulau Pinang ini telah menjalani kehidupan yang penuh warna-warni. Suka, duka, pahit dan manis semuanya sudah ditempuhi dan seperti yang semua sedia maklum, kisah perceraian dengan bekas suaminya yang juga komposer popular, Ajai yang paling meraih perhatian.

Masakan tidak, hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan hatinya itu, mereka telah dilabelkan sebagai pasangan sehati sejiwa dan serasi bersama.

Namun, siapalah kita sebagai manusia untuk mempersoalkan ketentuan Ilahi kerana istana cinta yang dibina atas dasar cinta itu tidak mampu dipertahankan lagi apabila ikatan suci itu terlerai pada tahun 2007.

Tulisan ini bukanlah mahu menyingkap kembali sejarah itu tetapi apa yang mahu ditonjolkan adalah kekuatan seorang wanita bernama Noorul Huda Abdul Wahab atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Nurul serta misi dan perancangannya kini.

Pastinya bukan mudah untuk seorang wanita seperti Nurul untuk berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan, apatah lagi apabila mengenangkan kata-kata yang dilemparkan oleh masyarakat yang ada kalanya sukar untuk ditelan.

Kerana masyarakat tidak tahu dan mengerti apakah yang berlaku dalam pergolakan rumah tangga mereka dan apa yang mereka tahu, hanyalah untuk membuat telahan tanpa mengetahui kisah sebenar.

Tetapi, bagi ibu kepada Ayu Nazirah ini, selepas dua tahun bergelar ibu tunggal, kehidupannya kini lebih tenang dan gembira didampingi keluarga dan rakan-rakan rapat yang tidak pernah putus memberikannya harapan serta semangat untuk mengharungi hidup yang penuh pancaroba ini.

Ketika ditemui baru-baru ini, Nurul kini sudah bersedia bangkit semula untuk memperkukuhkan namanya di persada seni tanpa mahu lagi dibayangi oleh bekas suaminya itu.

Dek kerana itu juga, Nurul memberitahu, kini dia mahu dikenali dengan nama Nurul Wahab kerana apa yang ditampilkannya kini jauh berbeza jika mahu dibandingkan pada zaman dia menjadi artis dan juga ketika bersama dengan Ajai.

"Tangis Syukur merupakan lagu pengenalan yang juga merupakan satu petanda kepada peminat dan masyarakat bahawa saya bukan seperti Nurul yang mereka kenali dulu.

"Alhamdulillah, sambutan yang mereka berikan terhadap lagu itu sungguh menggalakkan dan rata-rata menyatakan rasa gembira mereka kepada transformasi yang saya lakukan.

"Untuk itu, ia menaikkan semangat saya untuk tampil dengan sebuah album yang bakal berada di pasaran tidak berapa lama lagi dan album itu adalah sebagai bukti penjenamaan semula seorang yang bernama Nurul," kata penyanyi hitam manis itu ketika ditemui baru-baru ini.

Tangis Syukur yang dicipta oleh Tam Spider dan lirik nukilan Allahyarham Loloq itu ternyata mendapat respons yang positif dari semua pihak yang yakin dengan kemampuannya untuk berdiri atas namanya sendiri.

Jelasnya, sepanjang dua tahun kebelakangan ini sejak menjadi solo semula, dia telah mencuba sedaya-upaya untuk 'lari' daripada pengimejan yang sudah tercerna dalam dirinya.

Malah, dia mengakui memang bukan satu perkara yang mudah untuk membuang apa yang telah terpatri dalam dirinya sepanjang dia bergelar pasangan duet kepada Ajai, namun, dia begitu optimis perkara itu mampu dikikiskan secara perlahan-lahan.

"Apabila peminat masih lagi mengaitkan saya dengan muzik yang pernah saya hasilkan bersama Ajai dulu, itu merupakan satu penghargaan buat saya kerana kolaborasi kami berdua banyak membuka mata masyarakat terhadap saya.

"Tetapi saya mahu semua itu menjadi satu sejarah yang sudah termaktub dan kini saya mahu bergerak atas nama saya sendiri. Saya akui, sewaktu bersama Ajai dulu, terlalu banyak pengalaman dan kejayaan yang saya kecapi.

"Apa yang saya pelajari dulu, saya gunakan dan amalkan dalam album terbaru saya ini. Bukan itu sahaja, peminat saya juga akan mendapati album ini juga adalah sebagai lambang kematangan saya setelah hampir 15 tahun menjadi artis," ujarnya panjang lebar.

Mungkin ramai yang terlupa bahawa Nurul pernah bergelar seorang pelakon apabila membintangi sebuah filem berjudul Sate pada tahun 1997.

Dan sepanjang dua tahun ini, Nurul mengembangkan bakat lakonannya itu dengan membintangi sebuah telemovie berjudul Cinta Seorang Seniman yang ditayangkan di TV2 tahun lalu.

Malah, duta Power Root ini juga telah selesai membintangi drama bersiri Rahsia Hati terbitan Suhan Movies yang akan ditayangkan di saluran Prima (saluran 105, Astro) tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, sememangnya Nurul cukup bertuah apabila dia dilamar oleh syarikat rakaman Metadome Sdn. Bhd., yang berminat untuk menjadikannya sebagai artis rakaman.

Manakan tidak, di kala sebahagian syarikat rakaman kini enggan lagi menyunting artis untuk menjadi artis rakaman mereka apatah lagi dari kalangan artis senior, Nurul masih lagi diberi peluang itu.

"Syukur Alhamdulillah kerana peluang itu dibuka kepada saya. Tidak dinafikan, memang selepas bergerak secara solo ini, saya melakukan semuanya sendiri. Baik dari mencari material sehinggalah ke pemasaran.

"Saya tidak ragu dan was-was untuk memilih Metadome sebagai syarikat rakaman saya kerana orang-orang yang berkhidmat dengan syarikat ini merupakan orang yang cukup rapat dan amat saya kenali ," kata Nurul penuh optimis.

Album yang bakal berada di pasaran tidak berapa lama lagi itu menampilkan sembilan buah lagu termasuk sebuah lagu bonus.

Ternyata bekas pemenang Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1996 itu begitu teruja dengan album solo kelimanya itu kerana album kali ini menampilkan variasi dan pembaharuan yang diidamkannya selama ini.

Apatah lagi, dia sendiri menyatakan kekagumannya apabila dapat bekerjasama dengan komposer yang cukup dihormatinya iaitu Sharon Paul yang telah menyumbangkan empat buah lagu iaitu Sepenuh Jiwa, Kala Hati serta dua lagu lagi yang masih belum berjudul.

"Selain itu, saya juga berbangga kerana dapat merakamkan sebuah lagu berjudul Jadikan Aku Bintang ciptaan komposer baru, Bajai yang berjaya menampakkan sisi lain saya sebagai seorang penyanyi," kata wanita berbintang Leo ini lagi.

Dalam diam, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Cinta Azali dan Kerana Terluka ini juga berbakat menghasilkan lagunya sendiri. sehingga kini sudah hampir 10 buah lagu berada dalam koleksinya.

"Buat masa ini, lagu ciptaan saya tidak akan ditampilkan dalam album terbaru ini tetapi insya-Allah mungkin untuk album yang seterusnya," katanya.

Nurul sempat diusik tentang soal cinta dan apabila soalan diajukan kepadanya tentang dirinya yang dikatakan sudah mempunyai teman istimewa, ketawa besar Nurul memberikan jawapannya.

"Mana anda dengar cerita itu? Semua itu tak betul. Buat masa ini, saya masih lagi solo dan tidak mempunyai sesiapa pun yang digelar kekasih. Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada karier saya. insya-Allah, kalau jodoh saya sudah sampai kelak, saya tidak mampu untuk menolaknya," jelasnya yang cukup murah dengan senyuman itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: