Monday, November 7, 2016

Tiada Publisiti, Bob Yusof (AF2) Tak Rasa Dipinggirkan



Bob Yusof (AF2) tidak pernah berasa jauh hati atau dipinggirkan biarpun kurang mendapat liputan publisiti. 
PETALING JAYA: Penyanyi Bob Yusof (AF2) berkata dia tidak pernah berasa jauh hati atau dipinggirkan daripada perhatian umum biarpun kurang mendapat liputan publisiti, kebelakangan ini.
Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usop, 35, berkata, persepsi itu langsung tidak wujud dalam dirinya kerana kerjaya seninya masih stabil dan berjalan lancar.

"Mungkin disebabkan saya jarang muncul di televisyen atau media, ada yang beranggapan saya sudah tidak aktif atau dilupakan.

"Pada hakikatnya persepsi itu tidak benar sama sekali kerana saya masih menyanyi macam biasa dan sekali-sekala berlakon juga.

"Saya tidak rasa dilupakan atau dipinggirkan pun," katanya.
Bob tidak kisah mengenai publisiti.
Penyanyi lagu Cinta Terhalang itu mengulas demikian berikutan desas-desus mendakwa dirinya sudah aktif dan dilupakan berikutan kemunculan ramai bakat baharu.

Bob berkata, keadaan itu tidak mengganggu atau menjejaskan permintaan umum terhadap khidmatnya sebagai penyanyi.

Malah kerjaya seninya tetap berjalan lancar dan jadual seni masih padat dan konsisten biarpun nama dan cerita mengenai dirinya jarang dipaparkan di media.

"Alhamdulillah, orang ramai termasuk syarikat korporat masih percaya dan memberikan tawaran nyanyian sampai sekarang walaupun saya tak banyak muncul di televisyen dan media.

"Pada tahap ini, saya sudah tidak kisah sangat mengenai publisiti, jika ada Alhamdulillah tapi jika tiada tak mengapa. Kerjaya saya berjalan dengan baik," katanya yang kini muncul dengan lagu terbaharu berjudul Jangan Jangan.

Bob menambah, jika tiada undangan nyanyian kebanyakan waktunya dipenuhi dengan komitmen sebagai guru vokal peribadi dan perniagaannya.

"Jujur saya katakan, jadual nyanyian saya sudah terisi hingga hujung tahun ini.

"Di antara waktu itu, jadual saya padat dengan tugas sebagai guru vokal kepada beberapa penyanyi dan pelakon mengikut projek.

"Selain itu, saya juga sibuk menguruskan produk minuman malt coklat Reevo yang baru dilancarkan di pasaran selepas ini saya akan melancarkan produk penyegar wajah Makayla pula," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: