Monday, November 7, 2016

Lemah Berbahasa Malaysia Bukan Halangan Haris Baba Jadi Pelakon



Harris Baba kini bergiat aktif dalam bidang lakonan. Foto Ihsan Instagram @harrisbaba & @seripictures
PETALING JAYA: Penyanyi Harris Baba tidak menjadikan kelemahannya bertutur dalam bahasa Malaysia sebagai halangan untuk memberanikan diri mencuba nasib dalam bidang lakonan.
Mengakui menghadapi masalah menghafal skrip ketika berlakon, Harris atau nama penuhnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 25, bagaimanapun melihat ia sebagai satu bentuk latihan dalam memperkasakan penguasaan bahasa tersebut menerusi lakonan.
"Harus saya akui halangan terbesar saya ketika berada di set penggambaran untuk memastikan setiap dialog saya dapat dihafal dan disebut dengan baik.
"Tetapi itu ialah proses pembelajaran kerana saya ingin menjadi lebih baik daripada sekarang tambahan pula saya memang meminati bidang lakonon," katanya kepada mStar Online.
Tambah Harris, dia berasa terharu apabila pelakon dan kru banyak bersabar dan sentiasa membantunya bagi memastikan dia tidak melakukan kesalahan.
"Alhamdulillah saya dikelilingi oleh individu yang cukup positif dan paling saya terharu mereka banyak membantu dan bersabar dengan saya kerana faham masalah yang saya hadapi.
Lagu nyanyian Harris iaitu Katakan bakal berentap pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik.
"Kerana itu juga membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh dan fokus agar tidak menggangu masa orang lain," ujarnya.

Haris berdarah kacukan iaitu Pakistan-Iran sebelah bapa dan Pakistan-Cina (ibu).
Dalam pada itu, Harris berkata, selain faktor minat dia menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana dia sedar tidak boleh seratus peratus bergantung dalam bidang nyanyian untuk survival dalam industri hiburan tempatan.
Dia juga perlu menjadi seorang anak seni yang versatil dan realistik untuk terus kekal dalam arus hiburan.
"Kita bukan berada di Hollywood yang industrinya sangat besar dan seseorang artis itu boleh fokus kepada satu perkara sahaja tanpa perlu bimbangkan perkara lain.
"Sebagai artis saya mahu bakat saya pelbagai tetapi apa saya lakukan bukan untuk kekal sahaja tetapi kerana minat. Tambahan pula bila ada peluang jadi tidak salah jika saya mencuba," katanya.
Harris bakal muncul dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan bersama Aaron Aziz dan Amyra Rosli untuk siaran Astro Ria.
Manakala penyanyi lagu Katakan ini baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Cinta 11 Syarat.
Sementara itu, Harris berkata, walaupun sudah bergelar pelakon namun nyanyian masih menjadi keutamaannya malah merancang untuk melancarkan single terbaharunya pada Januari depan.
Malah kata Harris, dia juga teruja apabila lagu Katakan ciptaan Ezra Kong, Mike Chan dan Faizal Tahir itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31 (MM31).
"Saya tidak menyangka akan terpilih masuk separuh akhir dan rasa bersyukur kerana ini adalah pertandingan besar.
"Perasaan takut itu memang ada tetapi saya akan lakukan yang terbaik pada persembahan saya nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: