MELAKA - Segelintir pengusaha premis di negeri terkejut apabila menerima bil pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) bagi unit komersil yang naik sehingga 62 kali ganda.
Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, beliau menyedari perkara itu selepas menerima banyak aduan daripada pengusaha premis yang menganggap kenaikan itu sebagai tidak masuk akal.
Menurutnya, bil sebelum ini hanyalah RM8 sebulan dan setelah berlaku kenaikan tersebut ia menjadi RM495 sebulan.
“Sebelum ini, mereka bayar bil untuk setahun hanya RM96 tetapi selepas kenaikan tersebut, mereka harus membayar bil IWK mencecah RM5,940.
“Apabila saya merujuk perkara ini kepada IWK, mereka jelaskan ini adalah ekoran peningkatan cukai taksiran dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kadar bil yang dikenakan berdasarkan cukai taksiran baru,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Menurutnya, perkara tersebut juga menunjukkan kesan kerajaan negeri menaikkan cukai taksiran PBT sehingga IWK pun menaikkan bil pembentungan ke satu kadar tidak munasabah.
Sementara itu, pihak IWK ketika dihubungi Sinar Harian berhubung perkara itu memaklumkan, terdapat kesilapan berhubung bil-bil unit komersil yang dikeluarkan.
Menurutnya, IWK kini sedang dalam proses penyelarasan semula bil berkenaan.