Thursday, November 3, 2016

Indah Edrea Tanggung Risiko Ke Pasaran Muzik Malaysia



Indah Edrea semasa pelancaran single terbaharunya di Jakarta. 
JAKARTA: Penyanyi baru dari Indonesia iaitu Indah Edrea sedia mengambil cabaran untuk mempertaruhkan single pertamanya Pergilah Bersamanya di pasaran Malaysia dalam waktu terdekat biarpun ia baharu dilancarkan di negara ini pada Jumaat lalu.

Indah atau nama sebenarnya Indah Pratiwi Subrato, 27, berkata, sekalipun ada yang menyifatkan perkara itu masih terlalu awal untuk dilakukan namun dia percaya kekuatan lagu ciptaan Bemby Noor tersebut mampu mencuri hati peminat lagu-lagu balada di Malaysia.
Indah (kiri) bersama Bemby Noor.
"Benar lagu ini masih terlalu baru dan berisiko untuk ditolak pendengar yang masih asing dengan nama saya.
"Bagaimanapun saya kira ini satu percubaan berani daripada pasukan promosi kerana saya percaya dengan kekuatan dan kualiti lagu ini,” katanya.

Indah ditemui pada majlis pelancaran  single dan klip video Pergilah Bersamanya di Ahmad Dhani's Masterpiece Karaoke, Jakarta, Indonesia, Jumaat lalu.

Cloudswork Record bertindak sebagai label yang akan mengatur urusan promosi dan acara penyanyi ini di Malaysia.

Sementara itu kata Indah, dia turut bersyukur kerana pencipta lagunya iaitu Bemby Noor yang pernah mencipta lagu untuk artis-artis tersohor seperti Rossa, Afghan, Kaer Hazami dan Sabhi Sadhi sedia memberikan karya kepadanya sebagai single pengenalan.

Ujar penyanyi kelahiran Karawang 7, Indonesia ini lagi, lagu Pergilah Bersamanyamerupakan sebuah lagu yang mempunyai kaitan dengan pengalaman cintanya sebelum ini bersama seorang jejaka dari Malaysia.

"Dia antara lelaki teristimewa pernah hadir dalam hidup saya, namun kehadiran orang ketiga telah memisahkan kami apabila dia memilih untuk menikahi wanita itu. Situasi ini amat sukar untuk saya terima ketika itu.
Indah juga adalah peminat setia penyanyi Datuk Siti Nurhaliza.
"Ketika berkesempatan bertemu komposer Bemby Nor, saya minta dia menzahirkan pengalaman cinta itu dalam sebuah lagu yang akan saya pertaruhkan sebagai single pengenalan,” katanya.
Pun begitu kata Indah, biarpun pengalaman cinta itu agak menyakitkan, dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap lelaki-lelaki di Malaysia.
Di sisi lain, dia yang juga peminat tegar Datuk Siti Nurhaliza sentiasa berkeinginan untuk bertemu dengan penyanyi tersohor itu suatu hari nanti.
"Dapat bersua dengan Siti menjadi salah satu impian hidup saya apalagi sekiranya dapat berkongsi pentas, pasti tidur malam saya tidak lena.
"Antara lagu Siti yang sering saya nyanyikan di karaoke seperti lagu Cindai dan Bukan Cinta Biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: