INCHEON - KOREA SELATAN. Suasana di sebuah restoran bertukar kecoh apabila sebuah telefon bimbit jenis Galaxy Note 7 terbakar.
Dalam sebuah rakaman video yang viral di YouTube pada 8 Oktober lepas, seorang pekerja restoran berkenaan dilihat cuba memadamkan kebakaran kecil berkenaan.
Telefon berkenaan dirakam mengeluarkan asap yang banyak sebelum pekerja terbabit membawa peranti berkenaan pergi.
Laporan AFP mengatakan jurucakap dari Samsung mengesahkan peranti berkenaan adalah Galaxy Note 7.
Samsung bagaimanapun enggan mengulas lanjut kejadian tersebut.
Wikitree pula melaporkan pengurus cawangan restoran terbabit meminta pampasan dari Samsung kerana kerosakan meja di tempat kejadian.
Semalam, Samsung meminta pengguna Galaxy Note 7 mematikan dan berhenti daripada menggunakan peranti berkenaan.