Saturday, October 29, 2016

Perkahwinan Semakin Hampir, Amyra Rosli Tiada Masa Urus Kahwin



Amar Baharin dan Amyra Rosli sedang menanti detik bahagia untuk menjadi suami-isteri pada 11 November depan. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Amyra Rosli tidak mempunyai masa untuk urusan perkahwinannnya dengan aktor Amar Baharin pada 11 November depan kerana jadual penggambaran yang padat.
Amyra, 26, berkata, dia beruntung kerana ibunya Noor Zaridah Ahmad yang juga pengurus dia bersama perunding perkahwinan banyak membantu bagi melancarkan majlis itu nanti.

"Saya tidak tahu apa akan jadi jika ibu dan pihak perunding perkahwinan tiada kerana sekarang ini saya sibuk untuk menyiapkan kerja sebelum berkahwin.

"Alhamdulillah setakat ini semua persiapan berjalan lancar cuma tinggal beberapa perkara kecil sahaja lagi," katanya.

Amyra ditemui pada sidang media Anugerah Melodi 2016 di sini, Isnin.

Pada anugerah itu, Amyra dicalonkan menerusi kategori Personaliti Drama Melodi.

Dalam pada itu, Amyra berkata, walaupun dia sibuk dengan kerja dan urusan perkahwinan namun tidak menganggapnya beban tetapi ia merupakan rezeki sebelum berkahwin.

Katanya, apa yang paling penting dia perlu bijak membahagikan masa agar semua perkara dirancang berjalan lancar.

"Alhamdulillah tahun ini adalah tahun rezeki kerana banyak projek lakonan yang saya dapat sejak merancang untuk berkahwin.

"Malah kebanyakan penggambaran dilakukan di luar negara jadi sambil bekerja dapat berjalan-jalan di negara orang. Itu pun rezeki juga," katanya.

Tambah Amyra, dia juga bakal berangkat ke Dubai pada Khamis ini untuk penggambaran drama bersiri, Isteri Tuan Ihsan yang menggandingkannya dengan Aaron Aziz.

Sementara itu, Amyra berkata, dia tidak berhasrat untuk memperlahankan karier seninya selepas berkahwin tambahan pula Amar tidak menghalangnya untuk berbuat demikian.

Malah kata pelakon ini, ada beberapa projek sudah menantinya selepas majlis perkahwinan mereka selesai.

Bercakap mengenai pencalonan dalam Anugerah Melodi 2016, Amyra berkata, dia tidak mengharapkan kemenangan dan menyerahkan kepada peminat untuk membuat undian.

"Dapat dicalonkan pun sudah syukur dan selebihnya saya serahkan kepada peminat membuat undian," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: