MENJELANG pembentangan Bajet 2017 Jumaat ini, penggiat seni khususnya antara pihak yang mahukan kesamarataan dapat diberikan terhadap usaha keras mereka selama ini.
Saban tahun, setiap kali bajet, ada juga perkara-perkara berbangkit yang masih di awang-awangan seperti penggiat seni tidak begitu penting dalam perkembangan negara.
Namun hakikatnya, penggiat seni di negara ini antara insan paling perlu mendapat hak sama rata dalam pelaksanaan bajet memandangkan merekalah yang cuba menghidupkan industri hiburan tanah air tidak kira lakonan, nyanyian, animasi, dokumentari, pengiklanan dan sebagainya. Apakah agaknya harapan yang diinginkan oleh penggiat seni ini supaya dapat terus menyemarakkan hiburan tempatan seterusnya ke persada dunia?
Insentif untuk pembangunan kreatif
Pengarah Urusan KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkata, industri kreatif di Malaysia boleh mendatangkan pulangan yang baik jika dilakukan oleh mereka yang mahir di dalam bidang ini.
Namun katanya, ia juga tetap mempunyai risiko yang tersendiri.
“Untuk Bajet 2017, saya berharap kerajaan dapat memberi insentif lebih baik bagi membangunkan industri kreatif di negara ini menerusi pelaburan serta sokongan dari sektor korporat dan cukai individu.
"Tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan atau pinjaman bank semata-mata.
"Kaedah ini sudah pun dilakukan di beberapa buah negara misalnya Australia dan United Kingdom," katanya.
Katanya lagi, melihat situasi muzik Malaysia sekarang yang mana penggiat seni suara kini lebih bergantung kepada jualan digital kerana pasaran untuk cakera padat makin berkurangan.
“Jadi bagi merancakkan semula industri muzik ini, pembangunan infrastruktur itu perlu lebih baik kerana untuk kos untuk menjalankan sesebuah konsert itu kosnya tinggi.
"Ia sekali gus mengekang muzik Malaysia untuk terus hidup dan meriah. Tidak seperi era 1990-an lalu yang mana kita tengok dunia hiburan tempatan cukup warna-warni, konsert berbayar juga laris.
“Jika ada alternatif seperti mana yang saya sarankan untuk pembangunan filem dan industri kreatif sebelum ini, ia mungkin boleh membantu menyemarakkan kembali dunia muzik kita khususnya,” katanya.
Kembalikan dana industri kreatif: Seniman
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil berkata, kerajaan perlu mengembalikan dana kreatif yang pernah diberikan kepada penggiat seni sebelum ini.
Dengan adanya dana khusus ini, ia akan menyemarak dan merancakkan lagi industri seni kreatif di negara ini.
Selain itu katanya, ada beberapa perkara yang perlu diberi penekanan antaranya, bantuan perumahan, subsidi, kebajikan dan juga badan pelepasan cukai terhadap penggiat seni tanah air.
"Kesemua ini adalah asas dan begitu penting buat kami. Penggiat seni bukan hanya mereka yang berada di hadapan kamera, tetapi ramai lagi yang bertungkus-lumus di belakang tabir.
"Inisiatif ini perlu diberikan. Sebagai contoh, ramai penggiat seni yang terpaksa menyewa hingga ke akhir hayat tidak boleh membeli rumah. Bukan tidak mampu sebaliknya syarat-syarat yang diletakkan begitu ketat.
"Jika ada kelonggaran penggiat seni, dapatlah mereka membeli rumah sendiri," katanya.
Jelasnya lagi, subsidi juga antara perkara yang diharapkan dapat direalisasikan.
"Pandanglah dan bantulah industri kreatif agar dapat terus memberikan input yang baik buat masyarakat. Selain itu, dana-dana yang disalurkan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan membuka peluang pekerjaan kepada belia serta memberikan gambaran kepada pelajar sekolah demi masa hadapan mereka," katanya.