PENDEDAHAN
 terhadap penggunaan peranti mudah alih seperti tablet kebelakangan ini menjadi kerisauan di kalangan ibu bapa.
Dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan tablet di kalangan kanak-kanak, sebuah syarikat tempatan milik Bumiputera, Adamia Playhouse melahirkan produk baharu yang mampu menarik minat kanak-kanak beralih kepada permainan Adamia Flubber.
Pengasasnya, Aida Azni Zulkifli berkata, Adamia Flubber dihasilkan menerusi idea anaknya, Adam Mikhael Mohamad Taufik, empat tahun lalu.
"Kami melakukan kajian untuk menghasilkan produk ini dari rumah sebagai salah satu tugasan kanak-kanak di rumah.
"Selepas melalui beberapa cubaan, akhirnya kami berjaya menghasilkan flubber yang benar-benar berkualiti dan selamat digunakan," katanya.
Menurutnya, pada peringkat awal dahulu, flubber tersebut dijual hanya kepada jiran-jiran dan rakan-rakan di kawasan perumahan.
Katanya, pada awal tahun ini jenama itu dijual secara meluas dan hanya dua bulan lalu, pihaknya mahu memberikan pemasaran yang efektif dan menyeluruh dengan menjualnya ke pasaran dalam talian (online).
Aida berkata, Adamia Flubber didatangkan dengan lima warna menarik iaitu ungu, merah jambu, biru, kuning dan hijau.
"Adamia Flubber adalah produk selamat digunakan kanak-kanak seawal tiga tahun kerana tidak mengandungi sebarang toksik berbahaya.
"Produk ini sejuk apabila dipegang, lembut, elastik dan senang dibentuk menyebabkan ia menarik minat kanak-kanak," katanya.
Aida berkata, Adamia Flubber boleh digunakan selama dua bulan selepas dibuka.
Jual lebih 3,000 unit sebulan  
Pengedar tunggal jenama Adamia Flubber menerusi syarikat Remo Marketing Sdn Bhd menerima permintaan  tinggi daripada ibu bapa  seluruh negara.
Selain pasaran tempatan, jenama itu juga menerima tempahan dari Brunei dan Singapura secara online.
Eksekutif Pemasaran dan Jualannya, Juzaili Azizan berkata, selain itu, pihaknya menerima tempahan dari taksa, tadika, sekolah rendah dan pusat jagaan kanak-kanak istimewa.
"Permintaan semakin hari semakin meningkat. Kami pernah berhadapan dengan masalah kehabisan stok akibat permintaan tinggi daripada pengguna.
"Setakat ini, jualan purata sebulan melebihi 3,000 unit dan kami menyasarkan kira-kira 10,000 unit pada masa akan datang," katanya.
Jelasnya, Adamia Flubber buat masa ini dihasilkan dari rumah bersama anak-anak Aida dan hanya akan membuka kilang sendiri apabila kapasiti permintaan bertambah. 
Buat masa ini, Adamia Playhouse  mampu menampung permintaan.
Juzaili berkata, pihaknya menerima maklum balas sangat menggalakkan daripada pengguna khusus ibu bapa yang mempunyai anak autisme dan Sindrom Down.
"Rata-rata mengakui  Adamia Flubber mampu meningkatkan daya sentuhan anak-anak," katanya.
Adamia Flubber dijual dengan harga RM56 seunit, juga dijual dengan pakej kombo tiga bekas RM110 dan lima bekas RM165.
Tekstur flubber jadi tarikan
Nur Hidayah Mohd Yusof, 32, berkata, dia membeli flubber pada dua bulan lalu untuk anak-anak berusia tiga dan empat tahun selepas melihat video di laman sosial, Facebook.
"Fungsi flubber sama dengan tanah liat tapi teksturnya tidak melekit dan melekat. Apabila di pegang ia sejuk dan senang dibentuk.
"Bukan itu sahaja, ia juga senang disimpan dan mudah dijaga," katanya.
Sejak membelinya, anak-anaknya lebih berminat dan tidak pernah jemu bermain dengan flubber tersebut.
Baginya, dia sangat menyukai flubber sebab ia dapat meningkatkan daya sentuhan anak-anaknya, sekali gus dapat mengalihkan minat anak-anak daripada bermain gajet.
Nur Hidayah membeli lima unit Adamia Flubber untuk anak-anak.
Kenyataan itu turut diakui oleh Nur Zarima Mohd Zin, 32, bahawa teksturnya yang mudah dijaga dan disimpan menyebabkan dia lebih menyukai Adamia Flubber berbanding tanah liat.
"Teksturnya lain dan tidak tetap, anak-anak saya sangat suka main dan tidak pernah bosan," katanya menggunakan flubber tersebut sejak sebulan lalu.
Nur Zarima yang juga seorang guru berkata, flubber itu sangat baik digunakan anak-anak bagi merangsang idea mereka.
Baginya, flubber ini sesuai digunakan di sekolah untuk membantu meningkatkan daya kreativiti pelajar
.