Tuesday, October 25, 2016

Nona Terkejut Bersaing Dengan Artis Hebat Dalam AIM22



Nona berharap namanya dikenali selepas AIM22.
KUALA LUMPUR: Pendatang baru iaitu Nona berasa terkejut apabila namanya dipilih untuk bersaing dengan artis-artis hebat dalam Anugerah Industri Muzik ke 22 (AIM22) yang akan berlangsung pada 18 Disember depan.
Nona atau nama sebenarnya Rosmawatie Thamrin, 21, berkata, biarpun kurang dikenali, dia bersyukur kerana menerusi sebuah single iaitu 'Takkan Biarkan', dia layak untuk berada sebaris dengan Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor dan Najwa Mahiaddin.
Nona sebelum ini pernah menyertai program Akademi Fantasia pada 2013.
“Sebenarnya saya sangat terkejut saat dimaklumkan oleh syarikat rakaman  KRU Music mengenai perkara ini dalam situasi orang masih belum mengenali diri dan lagu saya apatah lagi berada dalam kategori yang dimonopoli artis-artis senior,” katanya.

Dalam AIM22, kesemua mereka akan berentap bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita).

Nona merupakan Naib Juara pertandingan Program Rockers 2015 anjuran KRU Music sebelum ditawarkan menjadi artis syarikat rakaman itu sebelum mempunyai sebuah single berjudul 'Takkan Biarkan' ciptaan Yusri KRU.

Sebelum menyertai KRUMusic, dia merupakan peserta Top 12 Akademi Fantasia 2013 sebelum tersingkir pada minggu ke empat.

Dalam pada itu Nona berkata, dia tidak mengharapkan apa-apa kemenangan dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak juri kerana baginya, dicalonkan dalam anugerah itu sudah cukup membuatkan dia berasa bangga.

“Sebenarnya sejak diumum sebagai tersingkir dalam AF, saya terus putus semangat dan mengambil keputusan untuk balik ke kampung di Kota Kinabalu, Sabah sehinggalah saya kembali semula ke Kuala Lumpur selepas hampir tiga tahun menyepikan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: