ANUGERAH Industri Muzik (AIM) sudah memasuki tahun ke-22 penganjurannya. Saban tahun, penyertaan daripada penggiat seni tanah air begitu memberasangkan.
Menerusi AIM, ramai bakat baharu dalam ditampilkan dan di sini jugalah medan untuk penggiat seni yang rata-rata dari mereka yang berada di belakang tabir menunjukkan kemampuan mereka.
Tidak hanya taruhan vokal daripada artis terkenal, malah AIM menjadi titik mula mereka yang selalu berada di belakang tabir mempamerkan kehebatan dalam bidang masing-masing. Tidak kiralah sama ada penyusunan muzik, kulit album mahupun penciptaan lagu.
AIM kali ke-22 memperlihatkan saingan daripada muka baharu dan lama. Setiap kategori didominasi dua generasi ini.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin terus menarik perhatian panel juri apabila mendominasi senarai akhir Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) apabila menerima tujuh pencalonan daripada 17 kategori yang dipertandingkan.
Menerusi album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged, penyanyi berusia 37 tahun ini dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Terbaik.
Selain itu, Siti turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu  Menatap Dalam Mimpi dan Jaga Dia Untukku.
Mengekor rapat, penyanyi berbakat besar, Faizal Tahir pula menerima empat pencalonan iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Pop Terbaik.
Turut bersaing rapat, penyanyi muda, SonaOne pula menerima empat pencalonan iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik termasuk dua lagu dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik.
Kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu pula menyaksikan persaingan sengit nama-nama besar seperti kategori ialah Lelaki Akim, Faizal Tahir, Hazama Hazami dan Lah Ahmad. Manakala empat penyanyi wanita yang akan mencabar Datuk Siti Nuhaliza ialah Dayang Nufaizah, Jaclyn Victor, Najwa Mahiaddin dan Nona.
Turut cemerlang adalah bakat baharu yang semakin meningkat naik, Syamel, apabila disenaraikan ke peringkat akhir dalam dua kategori iaitu Artis Baharu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi Hidup Dalam Mati, yang juga hasil ciptaannya sendiri.
Penyertaan meningkat
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22, Rosmin Hashim, pencalonan akhir itu menampilkan gabungan menarik 80 nama-nama besar yang disegani serta pendatang baharu dalam industri muzik negara dengan pelbagai genre muzik yang diterbitkan.
“Tahun ini, AIM menerima 731 pencalonan berbanding 610 pencalonan, sebelum ini. Ini adalah pencapaian yang amat menggalakkan seterusnya menggambarkan industri muzik tempatan terus rancak dan dinamik dalam penghasilan lagu baharu,” katanya.
Tambahnya, pencalonan artis-artis dan lagu-lagu yang kurang dikenali ramai juga menunjukkan AIM terus mengiktiraf hasil karya penggiat seni muzik berasaskan kualiti dan bukan populariti semata-mata.
“Kita gembira melihat senarai pencalonan tahun ini yang menunjukkan kepelbagaian artis yang bertanding. Tidak kiralah daripada bintang ternama hinggalah ke bakat baharu yang sedang menempa nama,” katanya.
Jelasnya lagi, setiap album dan single yang tercalon diterbitkan dari 1 Julai 2014 sehingga 30 Jun 2016.
Dalam pada itu, bagi menghangatkan lagi penganjuran anugerah berprestij ini, beberapa siri Jelajah AIM 22 akan diadakan di lima cawangan AEON Mall bermula di AEON Tebrau City Shopping Centre, Johor Bahru pada 5 November, AEON AU2 Setiawangsa Shopping Centre (13 November), AEON Mall Klebang, Ipoh (19 November), AEON Mall Kota Bharu, Kelantan (26 November) dan berakhir di AEON Mall Shah Alam pada 3 Disember depan.
Selain itu,  satu Showcase AIM 22 juga bakal diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 6 November ini bermula jam 3 petang. Showcase ini akan berlangsung selama tiga jam dan membariskan nama artis hebat seperti Akim & The Majistret, Black, Hazama, Kaka Azraff, Najwa Mahiaddin, Projector Band, Salammusik, Syamel, Projek Pistol, De Fam, Juwita Suwito dan Vince Chong. Tiket berharga RM60.00.
AIM22 bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) pada 18 Disember depan. Ia juga akan dipancarkan di Astro Ria HD (saluran 123) Maya HD (saluran 135).

5 FINALIS AKHIR AIM22

* ARTIS BARU TERBAIK
Bella Nazari
De Fam
Projector Band
Lyia Meta
Syamel

* PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (LELAKI)
Akim (Akim & The Majistret) – Potret
Faizal Tahir – Sejati
Hazama – Sampai Mati
Hazami – Cintai Dia
Lah Ahmad – Syukur

* PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (WANITA)
Jaclyn Victor – Seindah Mimpi
Najwa Mahiadin – Guilty Room
Nona – Takkan Biarkan
Datuk Siti Nurhaliza – Menatap Dalam Mimpi
Dayang Nurfaizah – Lelaki Teragung

* PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (BERKUMPULAN)
Back2Basixx – Senyuman
De Fam – Supergirls
Nowseeheart – Selawat Untuk-Mu
The Mikraj – Qod Kafani
UNIC – Syamail Muhammadiah

* PERSEMBAHAN VOKAL DUO / KOLABORASI TERBAIK DI DALAM LAGU
Elizabeth Tan feat Faizal Tahir – Setia
Hunny Madu & Kayda – Go Heart or Gostan
Misha Omar & Hafiz Suip – Terimaku Seadanya
Najwa Mahiadin feat Juny – After The Rain
SonaOne feat Joe Flizzow & Akeem – Go Do That

* KULIT ALBUM TERBAIK
Sekumpulan Orang Gila – Bahtera
Fynn Jamal – Puisi Tepi Jalan
Yuna – Material
Pitahati – Selamat Datang ke Panggung Suara
Reena Nicky – Magika

* RAKAMAN ALBUM TERBAIK
Yuna – Material
Froya – Panic Bird
Gabriel Lynch – All Of Us
Q Sound – Duel Citizenship
Datuk Siti Nurhaliza – Datuk Siti Nurhaliza Unplugged

* VIDEO MUZIK TERBAIK
Stacy – Not For Sale
Kaka Azraff feat Sleeq – Bukan Hal Aku
Hazama – Sampai Mati
Paperplane Pursuit – Who’s Gonna Stop Me
Fynn Jamal – Suatu Pernah

* LAGU POP ETNIK TERBAIK
Amir Jahari – Ingga
Reena Nicky – Joget Sulam Sakti
Man Khan & Aris Kapilla – Kelik La Weii
Kopratasa – Mathnawi 1 Mawar
Fynn Jamal – Sepertinya

* LAGU NASYID TERBAIK
Suhaimi Saad – Cinta Sidna
Caliph Busker – Hanya Nama-Mu
Lah Ahmad – Maulaya
Datuk Siti Nurhaliza – Mikraj Cinta
Daqmie – Tangis Sebatang Tamar

* LAGU ROCK TERBAIK
Projek Pistol – Berani Mati
Azlan & The Typewriter – Mata Hati
Azlan & The Typewriter – Lebih Baik Sendiri
Akim & The Majistret – Potret
Amy Search feat Edrie Hashim – Redha Kemenangan

* LAGU POP TERBAIK
Faizal Tahir – Assalamualaikum
Syamel – Hidup Dalam Mati
Datuk Siti Nurhaliza – Menatap Dalam Mimpi
Hazama – Sedetik Lara
Faizal Tahir – Sejati

* LAGU HIP HOP TERBAIK
SonaOne – Confirm Ah
SonaOne – Hakeleh
Altimet & Takahara Suiko – Janji
Lah Ahmad feat Altimet – Mengelamun
Salammusik – Terima Kasih

* LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK
Elvira Arul – Christmas in The Sun
SonaOne – Firefly
Juwita Suwito – Just Like That
Daiyan Trisha – Stargazing
Vince Chong – Wonder

* SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU
Elvira Arul – Christmas in The Sun
Datuk Siti Nurhaliza – Jaga Dia Untukku
Datuk Siti Nurhaliza – Menatap Dalam Mimpi
Caliph Busker – Hanya Nama-Mu
Faizal Tahir – Assalamualaikum

* ALBUM TERBAIK Akim & The Majistret – Patriot
Datuk Siti Nurhaliza – Datuk Siti Nurhaliza Unplugged
Black – Black
Mojo – Nada
Estranged – Sepenuhnya Vol 1