Tuesday, October 25, 2016

Dulu Pemusnah, Kini Alif Amran Dinobat Pencipta




KUALA LUMPUR: Semasa kecil, Alif Amran Zabri sering kali dimarahi bapanya bukan sahaja kerana merosakkan pelbagai barangan di rumah, tetapi tidak tahu membetulkannya.
Tercetus daripada perasaan ingin tahunya, pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping ini berjaya dinobatkan sebagai pemenang kategori sekolah Anugerah Inovasi Negara (Ain) 2016.
Produk yang dihasilkan ini adalah tiang yang diberi nama Float Over atau singkatan bagi FO-ver, dan ia berfungsi untuk memberi isyarat kepada penunggang motor semasa banjir.
“Banjir kilat yang selalu berlaku di Kuala Lumpur, menyebabkan kemalangan dan kenderaan henti di tepi jalan.
“Saya mahu mencipta sesuatu yang dapat memberi amaran kepada penunggang motosikal supaya mereka dapat mengelak terperangkap dalam kejadian banjir,” jelas pelajar berusia 17 tahun itu.
Menceritakan lebih lanjut mengenai hasil rekaannya itu, Alif berkata, proses mencipta prototaip sahaja mengambil masa selama dua bulan.
“Secara kebetulan, tema banjir ini selaras dengan projek Reka Cipta iaitu salah satu subjek bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Idea ini tercetus apabila dia pernah mengalami kejadian banjir yang teruk pada 2014 di Kelantan, menyaksikan pelbagai kenderaan terperangkap.
“FO-ver mempunyai tiga unit utama seperti patung matrioshka. Ketika paras air naik, lampu LED akan menyala  serta memberi amaran kepada penunggang motosikal.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), menyampaikan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan trofi pada malam gala baru-baru ini.
Alif Amran berkata dia berhasrat menyambung pelajarannya di Jepun dalam bidang kejuruteraan automotif.
Pemenang kategori akar umbi, Teng Yu-Mein, 44, mencipta penapis air Efinity EZ,  tidak memerlukan tekanan dan elektrik untuk menapis air.
“Saya sedang fikir untuk menolong komuniti Orang Asli, kerana mereka tidak mempunyai air bersih dan bekalan eletkrik,” jelasnya.
Semasa pertandingan ini, Yu-Mein membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi.
Beliau pernah mengambil bahagian dalam Pencarian Inovasi Akar Umbi (Magris) yang diadakan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan jurulatih membantu menambahbaik ideanya.
“Produk ini akan membantu orang ramai terutama sekali di kawasan pedalaman. Saya sudah meninjau kawasan penempatan Orang Asli, dan mendapati penapis air ini sangat membantu,” katanya.
Tambahnya, sekarang dia mempunyai lima prototaip di Kampung Gebok di Mantin, Negeri Sembilan, Kampung Batu 16 di Gombak, Selangor dan perkampungan Orang Asli di Bidor, Perak.
Selain itu, Brig Jen Dr Roza Anon Mohamad Ramlee daripada Perkhidmatan Pergigian Angkatan Tentera Malaysia (PPATM) muncul juara ciptaannya, perkhidmatan Portable Dental Treatment Unit Compact and Tough (CAT).
Selain itu, Prof Dr. Nasehir Khan E.M.Yahaya dari Institut Penyelidikan Hidraulik Nasional juga menang bagi kategori produk bagi Sistem Perparitan Bersepadu Nahrim (Nids).
Setiap pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000.
Sejak 2006, Mosti mengadakan AIN setiap tahun untuk mengenal pasti pencipta produk atau servis mengikut kreativiti dan inovasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: