TAIPING – Tindakan dua anggota polis trafik membantu mengalihkan sampah di kilometer 14.2, Jalan Kuala Sepetang–Taiping, pagi kelmarin mendapat pujian daripada orang ramai.
Mohd Aswadi Muhammad, 40, yang mengirim gambar itu kepada Sinar Harian turut memuji tindakan anggota yang membantu terutama penunggang motosikal daripada terlibat dalam kemalangan.
“Daripada gambar itu, ia menunjukkan sikap anggota trafik yang bukan sahaja menjalankan penguatkuasaan tetapi merealisasikan moto pasukan PDRM iaitu ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’.
“Kalau diikutkan, keadaan mereka agak berbahaya kerana berada di tengah jalan tetapi mereka tetap berani mengalihkan sampah berkenaan demi pengguna jalan itu. Syabas kepada mereka,” katanya.
Individu dalam gambar itu adalah Lans Koperal Muhammad Zaiddi Hilmi, 30, dan Lans Koperal Mohd Qayum Shazny Mat Sahbudin, 26, yang kini bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Taiping.
Muhammad Zaiddi berkata, ketika itu, dia bersama Mohd Qayum dalam tugasan rondaan penguatkuasaan sekitar kawasan Simpang ternampak longgokan sampah yang dilanggar banyak kenderaan lain kira-kira jam 10 pagi.
“Kami tidak pasti sama ada sampah itu terjatuh dari kenderaan lain atau sebagainya tetapi kami lihat ada kenderaan cuba mengelak dari melanggar sampah itu dan mungkin boleh menyebabkan kenderaan terbabas.
“Bimbang juga dengan keadaan penunggang motosikal yang terlanggar sampah kerana sisa makanan yang dibuang itu menyebabkan jalan licin. Kami rasa bertanggungjawab untuk elakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.