BACHOK - Seorang calon PT3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor dekat sini tetap hadir menduduki peperiksaan walaupun terpaksa diusung guru untuk memasuki dewan.
Guru tingkatan tiga, Mohd Jailani Abdul Sukor berkata, beliau bersama guru lain sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan pelajarnya menduduki peperiksaan.
Beliau berkata, pelajar terbabit, Huda Husna Zulkifli, 15, terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Katanya, kejadian yang berlaku di depan Klinik Pauh Sembilan itu berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah motosikal lain yang menyebabkan Huda patah kaki kiri.
“Dia dibawa ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke hospital di Kota Bharu. Bagaimanapun keluarganya meminta untuk pulang ke rumah memandangkan dia sedang menduduki PT3 dan ayahnya juga tidak begitu sihat.
“Dia datang ke sekolah dihantar ibunya. Kami para guru mengusung Huda dengan kerusi untuk membawa dia masuk ke dewan. Ia sebahagian daripada tanggungjawab kami terhadap pelajar.
“Kami adalah ibu bapa pelajar ketika di sekolah. Kami sanggup lakukan apa sahaja untuk memastikan anak didik kami berjaya dunia akhirat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berharap agar Huda dapat menjawab peperiksaan dengan tenang walaupun dalam keadaan pergerakan terhad.
Mohd Jailani berkata, Huda anak bongsu daripada empat beradik itu akan dihantar semula ke hospital pada Khamis ini selepas selepas PT3 untuk rawatan seterusnya.
Beliau juga berharap pelajar dapat menjaga kesihatan dan keselamatan menjelang musim peperiksaan agar mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selesa dan sempurna.
Semalam Mohd Jailani memuat naik status ke laman sosial Facebooknya dengan petikan ‘11 Okt 2016... 7.50 pagi..Hari Kedua Peperiksaan PT3...Cikgu akan buat apa saja untuk bantu kamu.. Yang penting kamu berjaya, untuk masa depan kamu’.
Muat naik status yang memaparkan Mohd Jailani bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Noor Hadif Isa mengusung Huda menggunakan kerusi itu mendapat perkongsian ramai rakan-rakannya ke grup lain dan mendapat maklum balas positif daripada netizen.
Mohd Jailani adalah bukan guru biasa sebaliknya seorang pendidik yang terkenal dan aktif di Bachok.