Sunday, January 10, 2016

Survival Nick Robinson




Survival Nick Robinson

NICHOLAS John 'Nick' Robinson atau nama pentasnya, Nick Robinson memulakan karier lakonan di pentas teater menerusi Charles Dickens’ A Christmas Carol pada 2006 ketika berusia 11 tahun.
Menyedari potensinya bergerak lebih jauh dalam industri, aktivis teater mencadangkan ibu bapa Robinson membawanya bertemu ejen pencari bakat sekali gus legenda Hollywood, Matt Casella pada 2008.
Casella kemudian mengesyorkan Robinson kepada beberapa agensi yang mana anak kelahiran Seattle, Washington, Amerika Syarikat (AS) ini akhirnya menandatangani kontrak dengan The Savage Agency di Los Angeles (LA).
"Dia budak sebenar. Bakat dimilikinya luar biasa dan itu satu anugerah.
"Dia bukan saja pintar, tetapi kreatif, baik hati dengan senyuman besarnya," puji Casella.
Pun begitu, ketika itu berlakunya perhimpunan bantahan daripada Persatuan Penulis Amerika (Writers Guild of America) yang menyebabkan ekonomi LA mengalami kerugian AS$1.5 bilion sekitar 2007 dan 2008.
Keadaan itu memaksa Robinson dan kedua ibu bapanya kembali ke Washington lantas meneruskan kariernya di pentas teater di sekitar Seattle.
Antara pementasan teater yang dijayakannya ialah To Kill A Mockingbird (2007), Mame (2008), A Thousand Clowns (2009) dan Lost in Yonkers (2010).
Kemudian, pelakon berusia 21 tahun itu diterima menggalas watak Ryder Scanlon, iaitu anak saudara kepada karakter yang dibawakan aktres popular, Melissa Joan Hart menerusi sitkom Melissa & Joey pada 2009. Istimewanya, dia kekal dengan peranan itu sehinggalah drama bersiri 104 episod itu ditamatkan pada tahun lalu.
Bermula daripada sitkom itu juga, pelakon berusia 21 tahun itu memulakan penggambaran filem terbitan Disney Channel, Frenemies di samping bintang Disney lain seperti Bella Thorne dan Zendaya. Filem komedi remaja itu diadaptasi daripada novel berjudul sama dan ditayangkan pada 2012.
Selepas itu, Robinson mula diberi kepercayaan pengarah dan penerbit untuk membawa peranan lebih penting dalam setiap filem lakonannya seperti The Kings Of Summer (2013), Jurassic World (2015), Being Charlie (2015) dan filem akan datang, The 5th Wave (2016).
Calon awal Spider-Man?
Tahun lalu, ketika Sony Pictures dan Marvel Studios menguar-uarkan mencari aktor bersesuaian bagi menjayakan watak Spider-Man, nama Robinson turut termasuk sebagai calon awalnya.
Dua versi sebelum ini diperankan oleh Tobey Maguire dan Andrew Garfield.
Selain Robinson, nama turut diperkata Thomas Mann (Project X), Anton Yelchin (Star Trek), Donald Glover (The Muppets), Ansel Elgort (The Fault In Our Stars), Dylan O’ Brien (The Maze Runner) dan Iko Uwais (Star Wars: The Force Awakens).
Bagaimanapun, senarai itu bukanlah kenyataan rasmi dari dua perbadanan itu. Menurut kenyataan rasmi Sony Pictures dan Marvel, lima aktor muda itu Nat Wolff (The Fault In Our Stars), Asa Butterfield (Ender’s Game), Timothee Chalamet (Interstellar), Tom Holland (The Impossible) dan Liam James (The Way Way Back). Kesemua calon itu berusia di antara 18 hingga 20 tahun.
Pun begitu, akhirnya pelakon British, Tom Holland dipilih membawa watak Spider-Man pada usia muda dalam filem yang bakal ditayangkan pada Julai 2017. Holland terpilih selepas ujian lakon layar dilakukan di seluruh dunia.
“Kami uji bakat ramai pelakon muda untuk watak Peter Parker sewaktu muda dan apa yang kami saksikan uji bakat Tom istimewa,” kata Tom Rothman, pengerusi Sony Pictures Motion Pictures Group.
Spider-Man adalah watak ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko pertama kali muncul dalam siri komik Marvel pada 1962.
Pengalaman baharu
Dalam perkembangan lain, Robinson bakal bergandingan dengan aktres terkenal, Chloe Grace Moretz dalam filem The 5th Wave arahan J Blakeson.
Filem adaptasi novel nukilan Rick Yancey itu turut membariskan pelakon terkenal seperti Liev Schreiber dan Ron Livingston.
Robinson dalam temu bual mengakui tidak pernah membaca buku The 5th Wave, namun mengetahui filem berkenaan adalah adaptasi novel.
Pelakon kacak itu pegang watak Ben Parish, jejaka diminati Cassie sejak kecil.
Menceritakan mengenai filem itu, Robinson menyifatkan dunia kucar-kacir dan seolah-olah hampir kiamat.
"Filem itu berkonsepkan fantasi dan sains fiksyen. Saya harap penonton terhibur dan berpuas hati," katanya.
The 5th Wave mengisahkan remaja perempuan, Cassie terdesak menyelamatkan adik lelakinya selepas serangan makhluk asing memusnahkan bumi. Seperti filem fiksyen sains lain, beberapa cara diguna makhluk asing untuk serang manusia.
Bezanya, penaklukan makhluk asing digelar The Others terhadap bumi itu menerusi lima gelombang bencana. Nantikannya di pawagam mulai 14 Januari depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: