
PERNAH menerima Anugerah Ikon Usahawan Selangor 2015 tahun lalu, telah menjadi pembakar semangat kepada selebriti, Rafidah Ibrahim untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan.
Sementelah sejak setahun lalu, dia telah memperlahankan karier seni demi merealisasikan impian itu. Bagaimanapun akui pemenang pertandingan Juara Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 ini, bukan mudah untuknya mencapai kejayaan dalam bidang ini jika tidak punyai ilmu secukupnya untuk terus berdiri.
Menurut Rafidah atau mesra dipanggil Fida, sejak berkecimpung dalam dunia perniagaan ini, banyak cabaran jatuh bangun yang dilalui sendiri sebelum terus bangkit untuk mencapai kejayaan.
“Bukan mudah untuk berniaga. Walaupun saya ada gelaran artis, tetapi salah jika orang mengatakan artis ini mudah untuk jual produk.
“Saya pernah lalui jatuh bangun dalam dunia ini dan mengalami sendiri kerugian lebih kurang ratusan ribu apabila bermacam jenis perniagaan saya cuba lakukan.
“Justeru, apa yang penting bagi saya adalah kemahiran perancangan pemasaran itu menjadi keutamaan bukan gelaran artis semata-mata,” katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.
Fida yang kini sibuk dengan produk kecantikan sendiri, R Secrets turut berkongsi azamnya untuk tahun ini di mana, dia menyasarkan untuk memegang wang tunai RM1 juta hasil daripada perniagaannya itu.
“Walaupun beberapa kali pernah gagal dan dilanda masalah, namun semua itu saya laluinya dan jadikan ia satu proses pembelajaran.
“Kita perlu terus belajar, kerana setiap kegagalan adalah benda baharu bagi kita. Seperti satu eksperimen.
“Lagipun saya sudah berumur 30 tahun tahun ini, jadi saya perlu ada sasaran. Capai atau tidak itu bukan masalahnya, yang penting kita perlu ada sasaran.
“Sasarannya tahun ini saya mahu pegang duit tunai RM1 juta, tidak termasuk aset dalam perniagaan,” katanya yang meminta peminat mendoakan agar impiannya itu tercapai.
Selain pernah mengeluarkan produk Teh Misai Kucing, Fida juga pernah menjual beberapa produk lain termasuk deodoran, pakaian bayi dan kanak-kanak.
Anak bongsu daripada 12 beradik ini juga memberitahu, yang fokusnya buat masa ini adalah dalam dunia perniagaan dan misi utamanya dalam mengembangkan rangkaian produk R Secrets yang sudah memasuki tiga bulan pengurusannya.
“Produk pertama yang saya hasilkan ialah Serum dan setakat ini terdapat banyak permintaan di kalangan ahli sendiri. Tapi ia belum sedia untuk dikomersialkan lagi.
“Lagipun, serum ini baharu sahaja dikeluarkan, jadi sekarang masih dalam proses percubaan, Insya-ALLAH jika ada rezeki lebih saya akan mula komersialkan.
“Saya juga rancang untuk mengeluarkan minyak wangi sendiri di bawah jenama R Secrets ini suatu hari nanti,” katanya.
Pengurusan lebih tegas
Mengulas pula mengenai perkembangan seninya yang kini di bawah pengurusan abangnya sendiri, Fida memberitahu, dia selesa di bawah pengurusan abangnya itu.
“Memang sekarang saya perlahan dalam dunia seni, tetapi sejak abang menjadi pengurus saya, perjalanan seni lebih teratur.
“Jika ada sebarang tawaran lakonan juga, dia dahulu akan menelitinya terlebih dahulu. Insya-ALLAH pertengahan tahun ini, saya akan kembali aktif dalam dunia hiburan. Abang lah akan pantau dahulu tawaran itu.
“Dia sebolehnya tidak mahu kontroversi yang pernah berlaku terhadap diri saya sebelum ini berlaku lagi kali ini. Kerana baginya bukan sahaja nama saya akan terjejas tetapi turut akan melibatkan maruah keluarga,” katanya.
Jelas Fida lagi, abangnya juga sangat tegas dalam mengatur karier seninya dan dia perlu mengikut syarat yang diberikan jika mahu terus kekal dalam dunia hiburan.
“Sebelum ini, abang saya pernah cakap, yang dia minta saya berhenti dalam dunia seni jika saya tidak mahu dia uruskan aktiviti seni saya.
“Oleh itu, kerana saya sayangkan bidang ini, saya bersetuju dengan syaratnya itu untuk menguruskan saya sendiri. Alhamdulillah semua baik sahaja.
“Saya juga hormat kepadanya dan abang jenis yang banyak kali memberi teguran agar tiada perkara tidak elok berlaku,” katanya yang kini sedang membintangi drama Setulus Janji di saluran TV1.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: