
Laporan Sinar Harian, Selasa lalu.
JASIN - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka akan berusaha menempatkan pekerja sebuah kilang pemacu cakera keras atau hard disc drive di kilang-kilang lain yang memerlukan pekerja.
Ini ekoran keputusan bersama antara majikan dan pekerja untuk tidak meneruskan perkhidmatan selepas pekerja mendakwa suasana pekerjaan di kilang terbabit tidak kondusif.
Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Syarikat dan NGO, Datuk M S Mahadevan berkata, beliau akan berbincang dengan pihak JTK bagi memastikan mereka yang berusia di bawah 40 tahun diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan lain.
Pada masa sama, katanya, bagi pekerja yang sudah berusia melebihi 50 tahun, mereka akan cuba dibantu Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) memandangkan usia mereka akan menghalang daripada mendapatkan pekerjaan lain.
“Ini adalah selari dengan saranan Ketua Menteri, walaupun kilang terpaksa ditutup, semua pekerja sama ada rakyat tempatan atau luar, perlu diberi perhatian dan dicari penyelesaian untuk membantu mereka.
"Ini kerana mereka ada keluarga, ada anak, dan duit pampasan yang mereka terima bukannya mencukupi untuk mereka terus hidup,” katanya kepada media selepas rundingan membabitkan majikan dengan beberapa agensi kerajaan termasuk JTK, Pembela BN serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) di sini.
Dalam rundingan itu, pihak majikan bersetuju membenarkan 80 pekerja untuk berhenti dengan dibayar pampasan berdasarkan tahun mereka berkhidmat untuk kilang berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JTK Melaka, Suraiya Ch’ng Abdullah berkata, JTK Melaka akan terus memantau keadaan bagi memastikan pampasan dijanjikan itu dibayar kepada pekerja dalam tempoh masa yang ditentukan.
Menurutnya, majikan diberi tempoh tiga hari untuk membayar kesemua mereka yang ingin berhenti.
“Jika mereka (majikan) gagal membayar dalam masa ditetapkan, pekerja boleh membawa kes berkenaan ke mahkamah, di mana majikan boleh dibicara dan dikenakan denda sehingga RM10,000 untuk setiap pekerja,” katanya.
Selasa lalu, sekumpulan 108 pekerja kilang terbabit membantah tindakan majikan memindahkan mereka ke kilang bersebelahan yang mereka dakwa sebagai tidak kondusif untuk bekerja kerana keadaan berhabuk serta bising.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: