
SEJAK diperkenalkan pada 2005, program Mentor kini dianggap nadi utama program realiti di TV3 khususnya dan tempatan pada amnya.
Selepas tujuh musim, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu iaitu Mentor Milenia yang membariskan Akim, Azlan, Black dan Hazama sebagai barisan mentor.
Sudah mula disiarkan pada 3 Januari lalu, setiap hari Ahad jam 9 malam, Mentor Milenia akan memaparkan sebanyak sembilan episod dan dikendalikan oleh Issey Fazlisham dari kumpulan Titan dan Marsha Milan Londoh sebagai pengacara.
Sebelum memasuki gelanggang Mentor Milenia, Akim, Azlan, Black dan Hazama perlu memilih tiga peserta daripada sesi uji bakat yang telah berlangsung.
Tiga bakal protégé ini akan membuat persembahan solo mereka di dua episod konsert pengenalan pada 10 Januari (Black & Azlan) dan 17 Januari (Akim & Hazama). Hanya dua protege akan dipilih oleh mentor masing-masing.
Selepas itu, lapan protege tersebut akan bertanding dalam lima konsert mingguan bermula 31 Januari yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.
Mentor Milenia memaparkan kelainan daripada musim-musim sebelumnya apabila keempat-empat mentor ini menjadi pengkritik tetap di setiap konsert mingguan.
Program ini tidak akan mempunyai panel juri profesional kerana keputusan persembahan para protege terletak kepada jumlah undian daripada juri awam di studio iaitu sebanyak 30% dan 70% menerusi laman web rasmi Mentor Milenia.
Protege yang gagal meraih jumlah undian tinggi akan disingkirkan. Di peringkat akhir nanti, Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.
Mentor Milenia ini juga turut menampilkan Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok-U sebagai pengarah muzik.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9 Sherina Nordin, pihaknya teruja dengan konsep baharu Mentor Milenia ini kerana ia merupakan platform terbaik kepada artis-artis muda yang berkredibiliti untuk membuktikan kemampuan masing-masing dalam mengasah bakat baharu.
“Kali ini, kesemua protege tidak akan ditempatkan di sebuah asrama yang dikendalikan oleh pihak produksi. Mereka perlu belajar berdikari dan berusaha keras untuk hadir ke sesi latihan yang disediakan oleh mentor masing-masing.
"Menjadi popular sudah tidak mustahil pada zaman sekarang, tetapi tiada jalan singkat untuk menjadi seorang penyanyi yang berkualiti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: