Monday, January 4, 2016

Pencarian Clever Girl program realiti taruhan TV3




Pencarian Clever Girl program realiti taruhan TV3

SEJAK kebelakangan ini, pelbagai jenis program realiti telah pun ‘membanjiri’ kaca televisyen. Belum reda dengan satu rancangan, sudah ada yang lain sedia menunggu. Namun, sayangnya, kebanyakan daripada program realiti itu lebih berkonsep kepada hiburan semata-mata.
Lari daripada kebiasaan, stesen televisyen nombor satu di negara ini, TV3 memperkenalkan program realiti berkonsepkan ‘game show’, Clever Girl yang bakal ke udara pada 13 Mac depan.
Lebih istimewa, kewujudan program realiti ini bukan bertujuan untuk mencungkil bakat seni melalui nyanyian, lakonan atau peragaan sebaliknya, Clever Girl mencari 14 gadis berperwatakan menarik yang pintar sekali gus bakal mewakili negeri masing-masing.
Menariknya lagi, tiga selebriti terkenal seperti Vanidah Imran, Cheryl Samad dan Marion Counter turut dilantik selaku ikon dalam rancangan ini. 
Bagi menjelaskannya dengan lebih lanjut, Zass mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar menerusi satu sidang media, baru-baru ini.

Tahniah kerana berjaya membawa satu lagi program realiti ke kaca televisyen (TV). Apakah sebenarnya program Clever Girl ini?
Clever Girl merupakan sebuah program realiti berkonsepkan 'game show' yang mencari gadis paling bijak di negara ini. Sehubungan itu, kita akan memilih 14 peserta wanita yang berperwatakan menarik dan bijak pandai melalui sesi uji bakat bagi mewakili setiap negeri di Malaysia.
Pemilihan ini bakal membuktikan mereka adalah yang terbaik di antara yang terbaik. Tunjang utamanya adalah pengetahuan yang menjadi senjata utama bagi setiap peserta dalam program ini. Bahkan, biar setinggi mana pun tahap pendidikan peserta, ia juga bukan jaminan utama dalam program terbabit.
Ini kerana program yang menggabungkan elemen realiti dan 'game show' ini bakal menilai setiap peserta daripada segi pengetahuan dan personaliti mereka.

Mengapa perlu wujudnya program Clever Girl ini sedangkan kita sudah ada lambakan pelbagai program realiti di kaca TV?
Secara dasarnya, memang tidak dinafikan terlalu banyak program realiti pada hari ini. Namun kesemua program realiti itu hanya berkonsepkan hiburan semata-mata. Ya, memang tidak salah bahkan sebenarnya bagus.
Namun, atas dasar tanggungjawab, kita rasa terpanggil untuk membawa satu program realiti yang menggunakan pendekatan berbentuk pendidikan kepada orang ramai. Kita mahukan apabila masyarakat menonton rancangan ini, mereka akan mempelajarinya sekali gus memberi inspirasi kepada orang ramai untuk lebih berjaya.

Sejajar dengan nama programnya Clever Girl, jadi adakah kebijaksanaan semata-mata yang menjadi taruhan utama dalam pencarian peserta?
Ya, jika dalam program realiti lain, rupa paras yang jelita dan menawan sering kali menjadi kriteria utama dalam pemilihan peserta program realiti yang berfokus terhadap wanita. Kita tahu, ia umpama daya penarik paling penting bagi memastikan penonton mengikuti program berkenaan.
Namun, dalam program realiti ini, kita tidak meletakkan kriteria sedemikian sebagai keutamaan, sebaliknya kebijaksanaan menjadi taruhan utama bagi memilih 14 gadis bertuah itu nanti. Secara peribadinya, kita berasakan kebijaksanaan adalah aura paling kuat buat seseorang.
Kriteria begitulah yang kita cari dalam Clever Girl selain kita benar-benar yakin akan dapat mencungkil bakat wanita sedemikian. Bahkan, penilaian mereka pada setiap episod mingguan dalam program itu nanti bergantung sepenuhnya kepada jawapan untuk soalan diberi.
Kebanyakan soalan berdasarkan pengetahuan umum, namun pada tahap tertentu, mereka juga akan diberikan soalan yang jauh lebih susah. Ya, tahap soalan yang diuji untuk peserta nanti sememangnya sangat mencabar.

Boleh terangkan mengenai pemilihan tiga selebriti Vanidah Imran, Cheryl Samad dan Marion Caunter sebagai ikon Clever Girl?
Sebenarnya, pemilihan ketiga-tiga personaliti itu adalah sebagai wanita contoh yang ada dalam Clever Girl. Semua sedia maklum bahawasanya tiga wanita ini telah membina kerjaya dalam bidang masing-masing seperti lakonan, pengacaraan malah kini mempunyai perniagaan sendiri.
Pada masa sama, mereka juga seorang ibu. Mereka boleh dianggap seperti A Super Girl. Pun begitu, pembabitan tiga wanita ini hanyalah sekadar ikon dan tidak terlibat secara langsung dalam program realiti ini. Itu bermakna, mereka bukanlah seorang mentor mahupun juri, tetapi mungkin akan ada dalam beberapa episod terutamanya bagi sesi perkongsian ilmu dan pengalaman.

Difahamkan, setiap peserta wanita yang bakal dipilih akan mewakili negeri masing-masing. Tidak bimbang sekiranya timbul sentimen kenegerian nanti?
Menariknya mengenai Clever Girl adalah 14 peserta yang bakal dipilih itu mestilah berusia di antara 18 hingga 30 tahun dan mereka dipilih mengikut negeri masing-masing. Maksudnya, setiap peserta akan mewakili setiap negeri di Malaysia dan mereka akan berentap dengan wakil negeri lain.
Secara peribadinya, kita tidak melihat akan wujud sentimen kenegerian di situ. Kita ada juga terfikir mengenai hal itu, tetapi ia bukan isu besar kerana ia sekadar format pertandingan saja. Pada pengakhiran nanti, kebijaksanaan peserta itu yang diambil kira dan bukannya kerana ia hadir dari mewakili negeri yang mana. 

Adakah pemilihan peserta itu hanya terdiri daripada wanita bujang?
Jujurnya, Clever Girl membawa misi tersendiri dalam memartabatkan wanita bijak daripada pelbagai latar belakang. Oleh itu, program ini tidak terhad kepada wanita bujang sahaja sebaliknya yang sudah berkahwin turut dialu-alukan. Salah satu tujuan utama program ini diterbitkan adalah untuk mengubah nasib wanita yang tidak berpeluang mendapat apa yang diimpikan mereka selama ini.
Ramai wanita yang tidak bernasib baik untuk mendapat pendidikan seperti yang diinginkan padahal, mereka juga bijak, tetapi orang lain tak nampak. Perjalanan mereka tidak akan terhenti setakat selepas Clever Girl tamat nanti. Ia juga bakal membuka peluang buat mereka untuk memasuki bidang penyiaran dan kita ada perancangan mengikut kecenderungan mereka.

Bagaimanakah untuk menyertai program realiti ini?
Pencarian gadis terpintar ini akan berlangsung selama enam minggu bermula 26 Disember lalu hingga 31 Januari ini di seluruh negara. Sesi uji bakat bermula pada 26 Disember lalu di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Ia diikuti di Hotel Grand Borneo @ One Borneo Mall, Kota Kinabalu, pada 2 Januari 2016 dan Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak pada 9 Januari.
Ia kemudian diteruskan ke Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru pada 16 Januari; Hotel Sunway, Seberang Prai, Pulau Pinang (23 Januari) dan Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya (30 & 31 Januari). Bagi yang tidak berkesempatan untuk datang mana-mana lokasi, uji bakat juga dibuka menerusi laman sosial.
Caranya peserta perlu mencalonkan diri atau rakan lain melalui Hashtag #clevergirltv3 di Instagram masing-masing dengan langkah mudah. Peserta hanya perlu memuat naik sebuah video berdurasi 15 saat di Instagram dan ceritakan ‘kenapa anda adalah Clever Girl yang kami cari’ berserta hashtag #clevergirltv3.
Pencalonan rakan juga boleh dilakukan melalui hashtag #clevergirltv3 serta huraian ‘mengapa dia seorang Clever Girl.’ Pastikan tetapan Instagram diletakkan pada mod umum dan bukan persendirian (private). Calon yang terpilih akan dihubungi melalui akaun Instagram mereka.

Harapan?
Kita mengharapkan agar program seperti ini mampu membawa dimensi baharu dalam rancangan realiti di negara ini. Ini kerana, ia bukan sekadar rancangan realiti yang kosong, tetapi mahu mencungkil bakat dan kebijaksanaan wanita di luar sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: