Monday, January 4, 2016

Pasangan di China kelam kabut kahwin




Pasangan di China kelam kabut kahwin

SHANGHAI - CHINA. Pasangan di China terpaksa menyegerakan perkahwinan mereka selepas kerajaan membuat pindaan terhadap undang-undang perancangan keluarga yang melibatkan cuti sekiranya lewat berkahwin.
Memetik laporan South China Morning Post, berkuatkuasa 1 Januari 2016, peraturan baharu itu akan menghapuskan cuti tahun kepada sesiapa yang tidak berkahwin sehingga usia 23 tahun bagi wanita dan 25 tahun bagi lelaki.
Tempoh cuti yang diberi berbeza mengikut kawasan daripada tujuh hari di Shanghai kepada 27 hari di kawasan utara Shanxi.
Menurut pengantin baharu, Qiang Bin, 33 dan pasangannya, mereka memutuskan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka selepas mengetahui tentang undang-undang tersebut.
“Undang-undang baharu itu diperkatakan pada Ahad tengahari dan disahkan bahawa tiada cuti untuk yang berkahwin lambat.
“Jadi, kami memutuskan untuk daftar perkahwinan kami secepat mungkin bagi memastikan dapat cuti selama seminggu itu.
“Cuti itu sangat besar untuk kami kerana kami tidak mempunyai banyak cuti sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pendaftar di Shanghai.
Perancangan asal, pasangan ini sepatutnya berkahwin pada Jun depan dan pergi berbulan madu pada April 2017.
Polisi ini sekaligus menamatkan undang-undang ‘sebuah keluarga hanya dibenarkan mempunyai seorang anak sahaja’ yang membuatkan ramai pasangan di negara itu menangguhkan rancangan untuk mempunyai keluarga.
Di Beijing, sebuah pejabat pendaftar menerima lebih 300 pasangan yang memohon untuk berkahwin sehari selepas pengumuman itu dibuat berbanding hanya 70 hingga 80 pasangan sahaja sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: