Wednesday, January 6, 2016

Langit Cinta taruhan terbaharu Dayang Nurfaizah



Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah
SELEPAS tampil dengan single Di Pintu Syurga dan Tak Pernah Menyerah, penyanyi bersuara lunak, Dayang Nur Faizah tampil dengan buah tangan terbaharunya, Langit Cinta.
Istimewanya mengenai single ini adalah ia dicipta khas komposer Nurzaidi Abd Rahman sebagai lagu tema filem Langit Cinta.
Mengulas serba sedikit mengenai perkara itu, Dayang memberitahu, single itu memiliki kelebihan dari segi lirik yang ditampilkan bersesuaian dengan mesej yang dibawa dalam filem Langit Cinta.
“Saya sangat tertarik dengan barisan liriknya yang menceritakan tentang ketabahan seseorang wanita yang mendoakan insan disayangi.
“Lagu ini mudah untuk difahami pendengar tambahan pula daripada segi muziknya, ia sesuatu yang senang untuk diterima,” ujarnya.
Biarpun genre balada bukan asing buat dirinya, Dayang akui Langit Cinta memiliki cabaran tersendiri.
“Untuk menyanyikan lagu ini sebenarnya tidak mudah kerana ia bukanlah sekadar lontaran suara semata-mata.
“Ini adalah lagu pertama saya yang turut dijadikan sebagai runut bunyi filem dan saya rasakan ia satu tanggungjawab yang besar.
“Saya tidak mahu sampaikannya sekadar nyanyian kosong, tapi mahu ia dialunkan dengan penuh emosi supaya dapat dikaitkan dengan filem.
“Sebagai penyanyi, saya akui agak berat untuk nyanyikannya kerana ia perlu disampaikan dengan emosi, pendengar dapat merasa apa yang saya nyanyikan,” katanya.
Muzik video
Pada masa sama, Dayang sempat berkongsi pengalamannya sepanjang terlibat dalam penggambaran muzik video single terbaharunya itu.
"Proses penggambaran ambil masa selama satu hari sahaja memandangkan ia dijalankan dalam studio.
“Ini juga cabaran buat saya kerana memerlukan penghayatan yang sepenuhnya untuk saya ekspresikan mesej lagu ini.
“Tambahan pula, beberapa babak dalam filem diselitkan dalam muzik video ini, jadi saya perlu berikan penghayatan yang bersesuaian dengan jalan cerita filem tersebut,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: