
Azmira memeluk 'Pok Yea' yang menjadi penyelamat rumahnya daripada dipecah masuk penjenayah.
SUBANG JAYA – Bunyi bising kucing peliharaan milik seorang kerani berjaya menyelamatkan rumah pemiliknya daripada dipecah masuk pengawal keselamatan yang bertugas di pangsapuri itu, awal pagi, semalam.
Difahamkan, suspek baru sehari bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri yang terletak di Jalan Jubli Perak Batu 3.
Namun harapkan pegar, pegar makan padi, suspek tergamak menceroboh masuk ke rumah mangsa yang terletak di tingkat tujuh selepas dipercayai turun dari balkoni asrama pekerja di tingkat lapan.
Pemilik rumah, Azmira A Rahim, 39, berkata, rasa pelik apabila kucingnya membuat bising seolah-olah mahu bergaduh menyebabkan hatinya terdetik untuk memeriksa apa yang berlaku.
Dia yang mendakwa sering tidur lewat terperanjat melihat seorang lelaki tidak dikenali sedang memanjat balkoni rumahnya dengan keadaan sebelah kaki sudah berada di beranda.
“Saya terus sergah lelaki itu...dia kelihatan terpinga-pinga dan tak melawan, saya suruh dia tunggu di situ sementara nak dapatkan pengawal keselamatan di lobi pangsapuri,” katanya.
Azmira berkata, sekembali dari tingkat bawah, suspek sudah menghilangkan diri dan memanjat turun ke tingkat enam untuk melarikan diri.
Dia dan seorang rakan berusaha mencari suspek di tingkat itu sebelum suspek secara tiba-tiba muncul dipercayai bersembunyi di rumah sampah.
“Tak sangka kucing peliharaan diberi nama ‘Pok Yea’ yang dibela lebih setahun lalu ini selamatkan rumah saya daripada dipecah masuk,” katanya ketika kejadian isteri dan tiga anaknya sedang tidur.
Dia membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya.
Smentara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa membuat pemeriksaan di balkoni apabila terdengar kucing peliharaannya membuat bising kira-kira jam 2.50 pagi.
Mangsa terkejut mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di bahagian balkoni rumahnya.
Beliau berkata, suspek terus melarikan diri selepas melihat kehadiran mangsa.
“Dengan bantuan seorang jiran, suspek yang bersembunyi dalam rumah sampah di tingkat enam berjaya ditangkap. Mangsa berusia 39 tahun itu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Yahaya berkata, suspek berusia 21 tahun itu turun dari tingkat atas rumah mangsa dipercayai untuk tujuan pecah rumah dan mencuri.
“Polis masih menyiasat latar belakang suspek,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: