
BACHOK – Bukan sahaja dipenuhi bulu binatang, malah tempat duduk belakang sebuah kereta jenis Proton Iswara dipenuhi tahi kambing selepas binatang itu dicuri di belakang sebuah rumah di Kampung Teratak Pulai, Jelawat, semalam.
Dua kambing bernilai RM2,000 berkenaan lesap dicuri dua lelaki yang menyumbat binatang berkenaan ke dalam kereta itu pada jam 9.15 malam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kejadian disedari pemilik ternakan yang berusia lingkungan 50-an apabila keluar dari rumah dan melihat kambing yang ditambat di belakang rumah hilang setelah puas mencari di sekelilingnya.
“Bagaimanapun, malang buat dua penjenayah itu apabila kegiatan jenayah mereka disaksikan jiran mangsa yang sempat mengecam nombor pendaftaran kereta yang digunakan.
“Polis kemudian menjejaki suspek sehingga sebuah rumah yang terletak di Jelawat, Bachok, pada jam 4.30 pagi, semalam, dan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan adalah adik-beradik yang berusia 38 dan 36 tahun,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kemudian membuat penahan terhadap kedua-dua suspek dan menjumpai kereta jenis Proton Iswara berwarna merah yang diletakkan di halaman rumah terbabit.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam kereta tersebut menjumpai bulu serta najis kambing pada tempat duduk belakang.
“Siasatan awal turut mendapati mereka mengaku mencuri binatang tersebut dan sudah dijual kepada seorang pegawai kerajaan pada harga RM100 seekor,” katanya.
Susulan itu, kes siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek bakal didakwa di Mahkamah Bachok hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: