
SELARAS dengan visinya sebagai penyiar yang mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah, berkualiti dan universal yang berlandaskan Islam, TV Alhijrah sentiasa tampil dengan naskhah yang berkualiti untuk ditonton.
Terbaru, TV Alhijrah menayangkan sebuah drama sarat dengan pengajaran yang sudah pun menemui penonton sejak semalam.
Drama bersiri 13 episod berjudul Kemboja Di Hati, disiarkan setiap Rabu dan Khamis bermula jam 9.30 malam.
Diterbitkan oleh Al Hidayah Productions, yang sebelum ini berjaya menghasilkan drama berkualiti sehingga merangkul Anugerah Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2015 menerusi Matahari Terbit Lagi.
Kemboja Di Hati diarahkan Ahmad Albab dan dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Ashraf Muslim, Datuk Eizlan Yusof, Eja, Syatilla Melvin, Erynne Erynna, dan Na’im Daniel.
Penulis skrip, Maizura Ederis berkata, Kemboja Di Hati diinspirasikan daripada sebuah novel berjudul sama karya Ramlah Rashid.
Menurutnya, dia dan penulis skrip novel berkenaan berjumpa dalam sebuah bengkel penulisan skrip beberapa tahun lalu.
Terpikat dengan jalan cerita yang menarik, Maizura kemudiannya meluahkan hasrat untuk membawa karya itu ke penerbitan drama TV.
"Saya mengambil masa dua bulan untuk menulis skrip drama ini yang diinspirasikan daripada novel berkenaan.
"Saya bersyukur kerana projek ini mendapat kerjasama erat dan persefahaman antara pihak karyawan drama dengan novelis dan pihak penerbit novel berkenaan," katanya.
Maizura berkata, antara faktor utama yang membuatkan dia tertarik menulis skrip berdasarkan novel berkenaan kerana jalan ceritanya yang sarat dengan pengajaran dan boleh menjadi teladan kepada penonton.
"Saya berharap drama ini akan memberi manfaat kepada penonton, di mana setiap perkara yang baik kita jadikan teladan yang tak baik kita jadikan iktibar," katanya.
Cabaran masa
Berkongsi mengenai pembikinan drama itu, pengarah, Ahmad Albab memberitahu, jadual pelakon memberi cabaran besar buatnya untuk menyiapkan naskhah arahannya kali ini.
"Secara keseluruhan, drama ini mengambil masa 55 hari untuk disiapkan dan penggambaran bermula sejak akhir November lalu, melibatkan kawasan di Kuala Lumpur, Gombak dan Bandar Sri Putra.
"Jadual artis yang kerap bercanggah dan skrip yang 'on going' kerana beberapa faktor menyebabkan keadaan sedikit kelam kabut dan memberi sedikit cabaran kepada saya.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana ia dapat disiapkan," katanya yang turut menyukai jalan ceritanya yang disifatkan berbeza daripada drama sedia ada.
Kemboja Di Hati memaparkan kisah dua beradik yang memiliki karakter berbeza, Imtizam dan Faisal yang dibesarkan di rumah anak yatim milik Tuan Haji Hashim, iaitu seorang dermawan di Banting, Selangor.
Takdir menentukan, Imtizam berjaya menikahi Solehah, seorang wanita berjiwa besar yang mengabdikan dirinya kepada kerja-kerja amal dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.
Malang bagi Faisal, cintanya ditolak mentah oleh Solehah. Kecewa dengan perkahwinan Imtizam dan Solehah, Faisal membawa diri ke Jordan untuk menyambung pelajaran.
Rumah tangga yang dibina atas dasar kasih sayang utuh dengan kehadiran tiga cahaya mata, Zalis, Zarifi dan Zaza.
Imtizam saban hari semakin aktif menjadi Mubaligh moden. Tanggungjawab itu membuatkan dia menyerahkan tugas mendidik anak-anak sepenuhnya di atas bahu Solehah. Sehinggakan, Imtizam tidak menyedari bahawa Solehah menghidapi penyakit kritikal yang boleh meragut nyawanya bila-bila masa jika tidak dirawat dengan betul.
Imtizam berlepas ke Darfur untuk misi kemanusiaan yang seterusnya. Takdir ALLAH, pemergian Imtizam kali ini mengundang duka. Solehah meninggal dunia di hadapan anak-anaknya. Imtizam hanya tiba ke tanah air sejurus selepas Solehah dikebumikan.
Imtizam runsing dan tertekan. Namun, Faisal hadir menghulur bantuan. Pada masa yang sama, Shatila hadir membawa sinar harapan. Bukan sahaja buat Imtizam, malah hati Faisal turut bersinar kembali setelah bertahun-tahun terluka.
Siapakah Shatila? Bagaimanakah Imtizam menguruskan anak-anaknya yang seakan-akan menunjukkan protes terhadap Imtizam? Berbalaskah cinta Faisal kali ini?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: