Saturday, January 16, 2016

Kebangkitan Soutul Amal




Soutul Amal

JIKA diikutkan, usia kumpulan nasyid ini hampir sebaya dengan Hijjaz, Rabbani, Raihan dan Saujana dalam industri nasyid tanah air. Namun, entah di mana silapnya, Soutul Amal sukar mendapat perhatian sepenuhnya daripada peminat nasyid tempatan.
Padahal, ketika itu kumpulan ini yang pada mulanya disertai oleh tujuh anak muda berbakat besar berkenaan sudah pun menghasilkan dua album iaitu Amal Kerana ALLAH pada 1998 dan Gema Perjuangan (2000) serta album kompilasi, Satu Analisa (2005).
Pun begitu, perjuangan Soutul Amal dalam dunia nasyid tidak dapat diteruskan lantaran kesibukan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi di luar negara, sejak 2000.
Bukanlah satu masa yang singkat, sebaliknya Soutul Amal mengambil masa hampir 14 tahun untuk terus ‘berhibernasi’ dalam lapangan hiburan.
Kini, Soutul Amal hadir dengan semangat baharu meskipun tidak lagi bertujuh. Kumpulan itu kini ‘bangkit’ walaupun hanya dianggotai oleh Mohd Subri Abdullah, Mohd Firdaus Zahidin, Mohd Fakhrurazi Husin dan Abdul Alim Zakaria.
Ketua kumpulannya, Mohd Subri memberitahu, situasi itu terjadi lantaran tiga ahli yang lain terikat dengan komitmen masing-masing.
“Atas inisiatif pengurus, Dr Megat Suhaimi Megat Idrus, kami akhirnya wujud kembali selepas hampir 14 tahun menyepi.
“Walaupun hanya tinggal empat ahli, kami terus bersemangat meneruskan perjuangan demi peminat setia kami,” katanya kepada Zass.
Menariknya, kata Mohd Subri, sebelum Soutul Amal bergabung semula, dua ahlinya iaitu Mohd Fakhrurazi dan Abdul Alim turut bergerak sendiri dengan menyertai program realiti.
“Mohd Fakhrurazi merupakan peserta rancangan realiti, Imam Muda musim kedua manakala Abdul Alim menyertai Akademi Al-Quran.
“Situasi itu menguatkan lagi fakta bahawasanya kami sudah berkubur tetapi sebenarnya itu silap.
“Penyertaan kedua-dua ahli ini sebenarnya membantu menaikkan kembali populariti Soutul Amal di mata masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa mengambil masa terlalu lama untuk membuat kemunculan semula Soutul Amal, Mohd Subri ternyata punya pandangan tersendiri.
“Setiap ahli kumpulan ini mempunyai perbezaan umur yang agak ketara. Jadi, ia mengambil masa yang lama untuk menunggu kesemuanya tamat pengajian.
“Kami juga tidak takut dengan kehilangan peminat sementelahan lagi mereka (peminat) juga sama-sama membesar dengan kami.
“Lagipun, Soutul Amal bukanlah sebuah kumpulan yang mengejar nilai komersial atau pasaran album, tetapi kumpulan ini mempunyai matlamat perjuangan tersendiri.
“Matlamat kami adalah menjana kuasa masyarakat melalui mesej-mesej yang disampaikan di dalam lagu sesuai dengan namanya yang bermaksud Suara Kebajikan,” katanya.
Album terbaharu
Seiring dengan kemunculan semula, Soutul Amal berjanji untuk menghadiahkan sesuatu yang ‘segar’ khas buat peminat setia mereka.
Bagi membalas ‘hutang’, kumpulan ini bakal mengeluarkan album terbaru mereka dalam tahun ini.
Mohd Fakhrurazi memberitahu, album ketiga itu dibuat khas untuk peminat setia mereka yang tidak pernah berhenti menyokong Soutul Amal daripada dahulu hingga sekarang.
“Alhamdulillah, akhirnya kami akan kembali dengan buah tangan terbaru, selepas 14 tahun menyepi. Buat masa ini, hampir 80 peratus telah siap.
“Insya-ALLAH, dalam album itu nanti kami akan memuatkan 17 lagu sempena dengan ulang tahun kelahiran Soutul Amal yang ke-17 tahun.
“Mungkin kami akan mengetengahkan genre pop nasyid bahkan setiap lagu juga akan bersifat lebih matang. Kami juga akan memastikan susunan lagunya lebih segar,” katanya.
Mulai bergerak aktif sejak 2014, kata Mohd Fakhrurazi, kumpulannya itu sudah pun menghasilkan sebuah album kompilasi, Seru Pembelaan pada 2015.
Jelasnya, album kompilasi itu memuatkan 16 lagu lama daripada dua album sebelum ini selain single terbaru, Seru Pembelaan.
Pada masa sama, mereka turut mengeluarkan tiga single baru iaitu Langkah Pejuang, Raya & Usia serta Murabbi Ummah dalam tempoh tiga bulan sekali.
“Apa yang kami dapat lihat, penerimaan peminat sangat positif malah mereka (peminat) juga terkejut akan kebangkitan kami semula dalam industri.
“Alhamdulillah, lagu Seru Pembelaan merupakan di antara 20 lagu terbaik Carta Nasyid IKIMfm sepanjang 2015.
“Bahkan, setiap single kami juga menerima jualan yang sangat memberangsangkan,” katanya sambil memberitahu Soutul Amal berhasrat berduet dengan mana-mana otai dalam industri nasyid.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fakhrurazi menjelaskan Soutul Amal turut bergerak aktif melakukan kerja-kerja amal.
“Kami merupakan ahli sukarelawan Dua’t di bawah Yayasan Aman Malaysia. Setiap bulan, kami akan menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sambil berdakwah sekali gus mencari saudara-saudara baru mengenal Islam, “ katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: