
Pemancing merungut ikan sembilang semakin berkurang sejak kebelakangan ini.
TANJUNG TOKONG - Kekurangan spesies ikan sembilang sejak kebelakangan ini mendatangkan keresahan kaki pancing, di sini.
Pengerusi sebuah NGO, Sahabat, Saiful Lizan Yusof berkata, pihaknya menerima rungutan daripada kaki pancing berkenaan masalah itu sejak setahun lalu.
Menurutnya, masalah berlaku berikutan kesan daripada tambakan laut yang giat dijalankan termasuk di Batu Ferringhi.
"Ikan sembilang ini habitatnya di kawasan berselut, jadi apabila laut ditambak, tiada lagi kawasan selut.
"Jika dulu, arus air juga yang menentukan jumlah ikan ini, namun sekarang sama ada arus air ada ataupun tiada, sama saja, ikan tetap kurang," katanya kepada Sinar Harian.
Difahamkan, ikan sembilan merupakan salah satu menu utama yang menjadi pilihan penduduk dan pelancong tempatan jika ke negeri ini.
Saiful berkata, antara lubuk utama ikan berkenaan termasuk di Batu Ferringhi, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah dan Persiaran Gurney.
Katanya, berbanding dengan Batu Maung dan beberapa kawasan sekitar Barat Daya, ikan sembilang ini masih lagi banyak.
“Tetapi banyak itu bukanlah terlalu banyak, disebabkan berkurangnya ikan ini harganya pula semakin mahal.
“Dan apa yang lebih kami takutkan ialah kemungkinan ada berlakunya penipuan dalam jual beli iaitu ada yang cuba menjual ikan keli dan dikatanya ikan sembilang,” katanya.
Tambahnya, masih ramai yang tidak tahu membezakan antara ikan keli dan juga ikan sembilang.
“Jadi kepada orang ramai jika mahu makan ikan ini pilihlah tempat yang terbaik dengan harga berpatutan.
“Kita juga tidak tahu sama ada ikan ini akan terus kekal ataupun pupus satu masa nanti, semuanya kerana alam sekitar kita yang perlahan-lahan dimusnahkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: