Tuesday, January 19, 2016

Gun Ong bermakna Raja Duit




Gun Ong bermakna Raja Duit
Ekspedisi pertama kali yang dilaksanakan RT Gunong bertujuan membawa anak-anak tempatan mendaki Bukit Gunong dan melihat sendiri keunikan bukit itu yang dipenuhi nilai sejarah.
Nama Gunong dipercayai berasal daripada perkataan ‘Gun Ong’ dan merupakan penempatan awal di Kelantan
Bahagian selatan daerah Gunong adalah bersempadan dengan daerah Peringat di Kota Bharu dan Bukit Jawa di Pasir Putih, sementara di sebelah barat dan timur lautnya pula, ia bersempadan dengan daerah Melawi dan Bekelam.
Keluasan daerah Gunong ialah 57.54 kilometer persegi atau 22.20 batu persegi, bentuk muka bumi yang rata dengan bukit-bukit seperti Bukit Gunong, Bukit Chenda, Bukit Bator, Bukit Kechik dan Bukit Hanyut.
Dikenali sebagai Bukit Pancor
Daerah Gunong wujud sekitar tahun 1832 bersama Kampung Laut, Salor, Limbat, Kadok, Banggol, Lebir dan Bukit Merah ketika Kelantan diperintah oleh Sultan Mohammad II (1832-1878) yang turut memerintah Kelantan serta jajahan takluknya.
Daerah Gunong ketika itu dikenali sebagai Bukit Pancor di bawah pemerintahan Long Ahmad Long Yusoff yang telah dilantik oleh Sultan Muhammad I (1800-1835) menggantikan ayahandanya Long Yusoff yang mangkat.
Beliau dikenali sebagai Raja Bukit Pancor, mempunyai pusat pemerintahan di Kota Bukit Pancor ketika beberapa kali cuba merebut takhta kerajaan Kelantan dan telah melarikan diri ke Kemaman, Terengganu setelah kalah perang dengan Raja Limbat di Kampung Padang Mokan, yang telah menyokong abang iparnya Long Senik Mulut Merah kemudian menjadi Sultan Muhammad II.
Kota ini kemudian mendapat nama disebabkan kedudukannya di sebuah tanah lapang di teluk sebuah bukit.
Selepas empayar Kota Bukit Pancor musnah, Bukit Pancor mula dikenali sebagai Bukit Gunung yang mempunyai ketinggian 600 meter dengan keluasan hampir 200 hektar. Bukit Gunong kemudian telah diwartakan sebagai Tanah Sultan.
Kota ini mengalami beberapa pembaikan dan perubahan sejak ia dibina. Pada awal 1960-an, istana itu dirobohkan dan yang dapat dilihat sekarang adalah empat buah perigi. Tinggalan perigi istana Kota Pancor dikatakan berada dalam kawasan Gunong Kuari.
Atas gunung ada mata air
Penduduk asal Gunong, Said Che Kob, 78, atau lebih dikenali sebagai Pok Teh Nor berkata, suatu ketika dahulu kawasan itu tidak ramai penduduk dan mereka hanya berjalan kaki mengusahakan tanaman padi untuk menyara kehidupan.
Katanya, orang zaman dahulu gemar berperang berkaitan pemilikan hal tanah dan sebagainya sehingga ada yang berbunuhan antara satu sama lain.
Tambahnya, jika ada yang bersalah kerana membunuh, mereka akan melarikan diri ke Thailand dan tanah mereka itu akan dijadikan milikan raja.
“Ikut cerita orang lama dahulu ada mata air di atas Gunong itu dan takdir ALLAH SWT dikatakan ada batu besar menutupi punca mata air itu. Dikatakan jika mata air itu keluar ia boleh menyebabkan banjir besar.
“Dulu tak ada kemudahan air atau elektrik macam sekarang. Kami jarang mandi dan api pun guna pelita damar sahaja. Pakcik masih ingat lagi masa dulu di Gunong ada tiga kuari dan kuari pertama mereka guna tenaga manusia untuk tolak rel yang sudah diisi batu pecah tadi,” katanya.
Naik kereta lembu niaga buah pinang
Seorang penduduk lama di Gunong, Tan Chin Soon, 65, atau lebih dikenali sebagai Pok Loh berkata, dia adalah keturunan kelima kaum Tionghua di kawasan Gunong.
Chin Soon berkata, neneknya berketurunan Siam dilahirkan pada 1892 di situ dan keturunan mereka adalah antara penduduk awal di situ yang datang melalui jalan sungai berdekatan Balai Polis Gunong kini.
Katanya, menurut penceritaan versi nenek moyangnya, perkataan Gunong dipercayai berasal daripada perkataan ‘Gun Ong’ yang bermaksud ‘Raja Duit’ apabila orang Cina yang menetap di situ mengusahakan bidang pertanian dan perniagaan kelapa kering dan buah pinang. Lama- lama perkataan Gun Ong itu bercantum jadi Gunong.
“Dahulu nenek moyang saya naik kereta lembu untuk berniaga buah pinang dan kelapa kering yang dibawa ke Kota Bharu yang mengambil masa dua hingga tiga hari. Masa tu tak ada kereta atau jalan raya lagi.
“Sekarang hanya tinggal 22 keluarga sahaja kaum Tiong Hwa di kawasan ini kerana kebanyakan generasi muda lebih suka berhijrah ke bandar besar yang lebih maju,” katanya.
Bukit Gunong potensi jadi warisan pelancongan
Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Gunong, Asli Mat Dris berkata, pihaknya pernah mengadakan ekspedisi mendaki Bukit Gunong khusus untuk anak-anak muda melihat tinggalan sejarah dan meninjau keindahan daerah Gunong dari atas bukit.
Menurutnya, dalam ekspedisi julung kali pada Mei tahun lalu itu juga menyaksikan penyertaan 227 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah termasuk seorang penduduk veteran berusia 72 tahun.
Katanya, pihak berwajib perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan kemudahan untuk pendakian Bukit Gunong yang berpotensi menjadi satu tarikan untuk sektor pelancongan  dan sejarah tempatan.
“Kami ada buat aktiviti mendaki bukit Gunong ini setiap hujung minggu tetapi mereka yang nak naik ke atas Gunong ini perlulah laporkan kepada pusat aktiviti RT Gunong terlebih dahulu untuk aspek keselamatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: