Friday, January 15, 2016

Gadis reka cerita culik diperintah jalani pemulihan




culik Amirah
Remaja (tengah) yang mendakwa dirinya diculik dibawa ke mahkamah untuk didakwa. 
KLANG - Gadis yang mereka cerita diculik di Bandar Suleiman baru- baru ini diperintah oleh Mahkamah Majistret Klang untuk dihantar ke Sekolah Tunas Bakti bagi menjalani pemulihan selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini.
Majistret Nor Asma Ahmad mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 91 (b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Prosiding dijalankan secara tertutup kerana melibatkan kanak-kanak.
Di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali berkata, ibu bapa remaja berkenaan turut dikenakan bon tanpa cagaran mengikut Seksyen 93 (1)(d) akta sama.
"Mereka diperintah melawat anaknya sebulan sekali dan sekiranya syarat gagal dipatuhi, ibu bapa boleh didakwa," katanya.
Menurutnya, perintah bon itu dikeluarkan selepas mahkamah mendapati remaja perempuan itu bertindak sedemikian berikutan kegagalan ibu bapa memberi perhatian kepadanya selain faktor persekitaran.
Beliau berkata, semua pihak dinasihati agar menghentikan cemuhan terhadap gadis itu memandangkan dia telah menerima pengajarannya.
“Pihak pendakwaan juga memberi peluang kepada remaja perempuan itu untuk berubah memandangkan ini kesalahan pertamanya,” katanya.
Sementara itu, Peguam, Nur Aida Md Zainuddin berkata, dalam mitigasinya, beliau memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan sebaliknya hanya ingin perhatian daripada ibu bapanya.
"Remaja itu telah insaf dan ingin memperbaiki kesilapannya," katanya.
Pada 6 Januari lepas, remaja yang berusia 14 tahun mengaku bersalah tuduhan memberi maklumat palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Sultan Suleiman, Klang jam 9.12 pagi pada 29 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: