
KUMPULAN Drama Band pernah memasang impian sekali gus bercita-cita untuk beraksi di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), sejak ditubuhkan pada 2010.
Kini, impian itu akhirnya tertunai apabila kumpulan yang lahir daripada rancangan Twisties Bingit HotFM itu berjaya melayakkan diri ke pentas akhir AJL ke-30 (AJL30) menerusi lagu Biarkanlah.
Menurut vokalisnya, Aepul Roza, kejayaan ke pentas akhir AJL30 boleh diibaratkan seperti baru menerima ijazah.
"Inilah impian kami sejak lima tahun lalu. Alhamdulillah.
"Ini kerana, AJL berjaya meninggalkan kesan yang cukup besar kepada sesebuah lagu.
"Tidak hanya lagu, tetapi orang juga akan mulai mengenali penyanyi dan pencipta lagu tersebut," katanya kepada Zass.
Mengakui agak berdebar, kata Aepul, Drama Band akan mencuba sebaik-baiknya di pentas akhir nanti.
"Debaran itu rasanya mahu pergi berkhatan (senyum).
"Tapi, apa-apa pun, fokus asal kami bukanlah untuk bersaing sebaliknya hanya mahu membuat persembahan yang terbaik.
"Sebab itu, kami tak mahu terlalu berlebihan dalam membuat persiapan.
"Cukuplah jika ia sekadar persembahan ringkas tetapi ada ‘jiwa’ dan ‘rasa’," katanya.
Pun begitu, Aepul memberitahu kumpulan ini tetap menganggap lagu Sampai Mati nyanyian Hazama cukup kuat.
"Sampai Mati adalah antara lagu yang ‘kuat’ kerana ia cukup sempurna,” katanya.
Namun, kata Aepul, apa yang lebih merisaukannya adalah faktor kesihatan lebih-lebih lagi dia berperanan sebagai penyanyi utama.
"Persiapan sememangnya sudah hampir selesai.
"Tetapi, apa yang merisaukan saya ialah soal kesihatan.
"Lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kini.
"Kalau tidak sihat, macam mana kami mahu berikan persembahan yang terbaik?
"Jadi, saya memang agak disiplin dalam menjaga suara.
"Yang penting kena cukup minum air," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: