
FILEM Bikers Kental sememangnya mempunyai pengikut tersendiri. Sementelah filem yang diterbitkan sekitar 2013 itu mengangkat kisah mat moto berkuasa tinggi.
Kini, filem yang mengangkat genre aksi komedi itu diangkat pula ke pentas teater dan masih mengekalkan teraju utamanya seperti Zizan Razak dan Awie,
Bakal mengulangi fenomena, teater terbitan MS Intergrated Sdn Bhd ini akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 23 hingga 31 Januari.
Menariknya, kali ini Bikers Kental menampilkan plot dan cabaran tersendiri memandangkan ia suatu perbezaan besar apabila sesebuah karya itu diadaptasi ke pentas teater.
Berkongsi mengenai teater yang mendapat sentuhan pengarah Nazrul Asraff Mahzan ini, jelasnya, dia tidak memasang impian besar namun masih berharap teater Bikers Kental mampu menarik peminat naskhah berkenaan ke pentas teater.
"Sambutan penonton terhadap filem amat memberangsangkan, bagaimanapun, saya ingin lihat teater ini mendapat respons lebih baik kerana inilah peluang mereka untuk melihat pelakon tersebut beraksi secara 'live'," katanya.
Bercerita mengenai plot yang ditekankan, kata Nazrul, dia memilih untuk mengangkat penceritaan mengenai nilai dan hubungan persaudaraan antara penunggang motosikal.
"Saya juga banyak terlibat dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi. Apa yang saya nampak dan lalui, sebenarnya terdapat banyak nilai-nilai murni di sebalik program mereka itu.
"Tetapi, ada di antaranya yang kami tidak dapat garapkan ke dalam filem, jadi ini masa yang sesuai untuk memuatkannya," katanya.
Pada masa sama, untuk memastikan plot teater ini tidak jauh daripada cerita asal, pihaknya turut menampilkan seorang pelakon wanita Thailand.
"Kalau dalam filem terdapat latar belakang di Thailand, kali ini juga sama. Jadi, pihak kami putuskan untuk kekalkan penglibatan pelakon dari negara itu," katanya.
Selain Zizan dan Awie, terdapat juga muka baharu dipertaruhkan menerusi teater ini iaitu Nadia Brian.
"Kami memilih untuk mengambil pelakon Nadia Brian yang sedang meningkat naik kini bukan kerana rupa semata, sebaliknya dia ada bakat besar dalam bidang teater. Malah, dia mempunyai asas teater dan memudahkan kami untuk membentuknya," katanya.
Teater tersebut turut dijayakan oleh Ameerul Affendi dan Kamarul Yusuf.
Tiket Bikers Kental boleh didapati di kaunter Istana Budaya seminggu sebelum pementasan bermula. Ia juga boleh didapati menerusi pembelian di www.AirAsiaRedTix.com bermula 12 Januari lalu pada harga RM45, RM65, RM95, RM125, RM155, RM185 dan RM305.
Perkampungan mat moto
Mengakui tarikan utama teater ini adalah berkisarkan mat moto, penerbitnya, Zolkefli Jomri memberitahu, dia yakin pementasan tersebut bakal menarik perhatian audiens yang besar khususnya daripada kelompok mat moto sendiri.
"Kisah ini menampilkan kesinambungan penunggang motosikal berkuasa tinggi seperti yang pernah ditampilkan di dalam filem. Sudah pasti penontonnya nanti lebih menjurus kepada mereka," katanya.
Pihaknya juga percaya, teater berkenaan akan menjadi perkampungan mat motor sepanjang ia dipentaskan selama 10 hari.
"Kita lihat sahaja nanti sambutannya, apa pun, tidak mustahil peminat motosikal berkuasa tinggi mahu pun kapcai akan membanjiri IB. Ini juga inisiatif kami untuk menarik mereka ke sini, kerana ada yang beranggapan teater bukan untuk mereka," katanya.
Pertama kali menerbitkan teater, menurut Zolkefli, dia percaya elemen muzikal yang diselitkan bakal memberi nafas baharu kepada Bikers Kental.
"Oleh itu, saya turut memilih penyanyi dari Thailand untuk memberikan kesamaan kepada teater ini. Kalau ikutkan memang boleh gunakan pelakon tempatan, cuma pihak kami mahu merealisasikan teater ini sama seperti karya asal," katanya.
Imbau kenangan
Menganggap teater ini sebagai pembuka tahun baharu, Awie memberitahu, dia sebenarnya teruja mementaskan Bikers Kental di IB.
"Saya mempunyai pengalaman di IB menerui Cuci The Musical, SuperMokh dan tahun lalu Baik Punya Cilok. Jadi kehangatan menjalankan pementasan itu masih terasa. Kerana itu, apabila diberitahu mengenai projek ini saya sangat teruja.
"Sementelah ia mengimbau kembali kenangan filem Bikers Kental itu sendiri," katanya.
Bagi Awie sendiri, teater berkenaan sangat dekat dengan dirinya.
"Saya memang penggemar motosikal berkuasa tinggi dan ia adalah salah satu hobi saya, jadi saya memang tidak sabar untuk mementaskannya. Rasanya tentu hebat membayangkan motosikal berkuasa tinggi di bawa ke pentas IB," katanya.
Jelasnya, meski pun produksi tidak terlibat dan hanya dia yang tampil sebagai pelakon, tetapi dia amat gembira kerana itu memudahkan urusannya.
"Jika produksi saya turut terlibat, ia akan memberikan cabaran besar kerana saya juga pelakon utama. Bimbang pula lakonan saya akan terjejas nanti," katanya.
Selain itu, Awie menyifatkan teater berkenaan tidak tertumpu kepada mat moto sahaja.
"Saya sarankan seisi keluarga menonton pementasan ini. Ia sebuah teater yang berkonsepkan kekeluargaan dan kisah mat moto sahaja," katanya.
Bimbang hampakan penonton
Diberikan pelaung beraksi menerusi teater itu, kata Nadia Brian, dia bersyukur kerana platform berkenaan mampu membuktikan bakatnya dalam industri seni tempatan.
"Walau pun masih baharu, tetapi saya akan berikan sebaik mungkin untuk teater ini. Lagi pun ini percubaan pertama, jadi saya tidak mahu menghampakan jangkaan banyak pihak lebih-lebih lagi produksi dan peminat," katanya.
Pernah mengambil jurusan teater ketika menyambung pendidikan di UiTM Shah Alam, katanya, dia percaya sedikit sebanyak ilmu yang dimiliki dapat membantunya sepanjang pementasan itu dijalankan.
"Mungkin lakonan saya nanti tidak dapat memuaskan hati semua pihak, tetapi saya sudah biasa berhadapan situasi sebenar pementasan teater dan ini mengurangkan debaran serta rasa gemuruh saya nanti," katanya.
Memainkan peranan sebagai inspektor polis, akuinya, dia terpaksa melakukan aksi lawan ketika pementasan itu.
"Memang banyak aksi lawan yang perlu saya lakukan, ini adalah cabaran besar dan baharu untuk saya. Apa pun, saya akan cuba realisasikan dengan baik. Pada masa sama, segala kritikan dan respons penonton saya akan ambil sebagai semangat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: