Wednesday, January 20, 2016

Bekas tisu sumber rezeki Suada




Bekas tisu sumber rezeki Suada
Suada bersama sebahagian hasil tangannya yang dipasarkan melalui media baharu.
PASIR PUTEH - Ibu tunggal dari Kampung Felcra Teratak Batu, dekat sini, tidak pernah jemu mengikuti kursus kemahiran sebelum memilih bidang paling sesuai untuk menjana pendapatan.
Suada Omar, 41, berasa bertuah kerana berpeluang mengikuti kursus ditawarkan Pusat Transformasi Luar Bandar Mini (Mini RTC) Teratak Batu.
Dia menganggap kursus kemahiran membuat bekas tisu pada Oktober tahun lalu, amat menarik sehingga dia mengusahakannya secara sambilan.
“Sebelum ini saya ambil upah menoreh getah dan membuat kuih untuk menyara anak-anak, tetapi pendapatan tidak menentu menyebabkan saya beralih ke bidang lain.
“Bekas tisu yang saya hasilkan ini bukan sahaja untuk perhiasan rumah atau dalam kenderaan, tetapi turut mendapat sambutan untuk dijadikan sebagai barang hantaran,” katanya.
Suada berkata, dia menerima tempahan daripada penduduk setempat, rakan dan kenalan di Facebook serta WhatsApp.
Katanya, bekas tisu biasa dijual pada harga RM25, sementara bekas tisu untuk hantaran perkahwinan mencecah RM50, bagaimanapun ia bergantung kepada bahan yang digunakan.
Menurutnya, bahan yang digunakan mudah diperoleh iaitu kain ‘felt’, gam lilin, benang dan tisu kotak, namun kecantikan perhiasan yang dihasilkan bergantung kepada kreativiti si pembuat.
"Ia menjadi sumber pendapatan sejak beberapa bulan lalu untuk menyara empat anak yang masih bersekolah (Muhammad Hazeeq Shamsuddin, 9; Hanzalah Rapiqah, 13; Husnie Hidayat, 15 dan Huzaimah, 16).
“Saya harap masyarakat terus beri sokongan. Saya perlu berusaha kerana tidak mahu anak-anak tercicir dalam pelajaran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Mini RTC Teratak Batu, Suzieyana Jusoh berkata, Suada merupakan peserta kursus yang tekun dan sentiasa bersemangat untuk mempelajari ilmu kemahiran.
“Mini RTC membantu golongan ini menjana ekonomi melalui pelbagai kemahiran. Kejayaan pasti menjadi milik mereka yang benar-benar komited,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: