Seekor gajah betina yang berjaya ditangkap dan dipindahkan oleh Jabatan Perhilitan minggu lalu.
BENTONG - Penduduk sekitar Kampung Manchis, Telemong dan Pelangai semakin lega apabila gajah liar semakin berkurangan mengganggu tanaman mereka.
Penduduk, Lee Ah Kaw berkata, selepas tangkapan yang dilakukan pada minggu lalu, dianggarkan sekitar 20 ekor gajah masih terdapat di kawasan hutan berhampiran ketiga-tiga kampung terbabit.
“Minggu lalu kami berjaya tangkap seekor gajah betina dengan kerjasama Jabatan Perhilitan dan gajah terbabit juga telah dipindahkan. Kami anggarkan sekitar 20 ekor terdiri dari dua atau tiga kumpulan lagi yang masih ada di sekitar kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, gajah-gajah liar terbabit dilihat semakin berkurangan mengganggu kawasan tanaman penduduk.
“Sekarang sudah kurang kacau tanaman penduduk kerana gajah-gajah itu sudah jumpa tempat dia dalam hutan. Dua tiga tahun lalu, hutan di sekitar kawasan Manchis telah ditebang menyebabkan gajah liar itu mengganggu tanaman penduduk untuk mencari makanan.
“Kemungkinan hutan yang ditebang terbabit telah pulih, jadi gajah-gajah itu sudah balik ke hutan dan memperoleh semula habitat mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan tidak lagi mengganggu kawasan hutan terbabit bagi mengelakkan masalah gajah liar berulang kembali.
“Kami juga minta pihak kerajaan menyimpan sekitar 5,000 atau 6,000 ekar kawasan hutan untuk dijadikan habitat gajah liar ini. Jangan kita ganggu lagi habitatnya supaya tidak mengganggu tanaman penduduk,” katanya.
Tambahnya, dengan penangkapan seekor lagi gajah betina terbabit menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan sejak tiga tahun lalu adalah sebanyak 16 ekor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: