Friday, December 4, 2015

Pasang umpan perangkap harimau



Pasang umpan perangkap harimau
Penduduk kampung membantu kakitangan Jabatan Perhilitan dan Hidupan Liar memasang perangkap harimau di kawasan berhampiran penemuan kesan tapak kaki harimau, semalam.
JASIN - Penduduk Kampung Hulu, Batang Melaka, di sini melahirkan rasa lega apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap harimau berhampiran tapak kesan tapak kaki binatang buas berkenaan yang ditemui sejak sebulan lalu.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batang Melaka, Johari Adam berkata, walaupun masih gusar dengan kehadiran haiwan berkenaan, mereka berpuas hati dengan usaha dijalankan jabatan terbabit.
Menurutnya, perangkap yang dipasang kira-kira jam 9 pagi semalam itu diharap dapat memerangkap dua ekor harimau berkenaan.
“Pagi tadi (semalam) penduduk nyata lega apabila melihat pihak jabatan datang memasang perangkap berhampiran penemuan tapak kaki harimau itu dengan menggunakan seekor kambing sebagai umpan.
“Sedikit sebanyak memberi sinar kepada penduduk kampung. Bagaimanapun penduduk dilarang ke kawasan berkenaan kerana masih berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, pengawasan di kawasan berkenaan akan dijalankan dua kali iaitu pada pagi dan petang oleh dua orang penduduk dan anggota Rela.
“Kita akan memantau lokasi terbabit melalui seorang penduduk kampung dan seorang anggota Rela yang bersenjata dua kali sehari sehingga binatang buas itu dapat ditangkap.
“Namun begitu, aktiviti penorehan getah di kawasan terbabit tetap tidak boleh dijalankan selagi harimau itu tidak ditangkap,” katanya di sini, semalam.
Johari berkata, beliau berharap keadaan kampung berkenaan akan kembali seperti sedia kala selepas dua ekor harimau berkenaan berjaya ditangkap.
“Penoreh getah di sini kehilangan pendapatan sejak isu harimau ini sebulan lalu, jadi saya berharap ia akan kembali seperti biasa,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Hulu itu dilanda ketakutan apabila digemparkan dengan penemuan tapak kaki dan bunyi ngauman yang dipercayai harimau.
Difahamkan, binatang buas berkenaan sudah berada di kampung berkenaan sejak sebulan lalu dan ada juga penduduk mendakwa pernah terserempak dengannya.
Berikutan penemuan itu juga, penduduk turut membuat laporan di Balai Polis Batang Melaka, di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: