Friday, December 4, 2015

Lokcing hidangan seisi keluarga



Lokcing hidangan seisi keluarga
Sedap dimakan bersama sos pedas atau manis.
LOKCING atau sate ikan sangat terkenal di pantai timur kerana keunikan dan keenakan rasanya.
Makanan unik itu dipercayai berasal dari selatan Thailand yang dijadikan sebagai hidangan di waktu santai.
Nama lokcing pula diambil daripada perkataan Thailand yang membawa maksud ‘bebola bakar’.
Ramuan asas lokcing diperbuat daripada ikan dikisar lumat bersama tepung kanji. Bahan tersebut kemudiannya diuli menjadi bebola seperti bentuk guli.
Sate ikan ini sedia dimakan begitu sahaja namun aromanya lebih menyelerakan jika dipanggang atau dibakar.
Tidak lengkap sekiranya tiada pencecah pedas atau manis bagi meningkatkan selera.
Jika di pantai timur, kebiasaannya sate ikan ini dijual oleh peniaga kecil di tepi jalan atau penjaja bermotosikal.
Makanan tradisi ini mudah didapati di kawasan kampung, sekolah dan taman rekreasi.

Aroma memikat
Bagi anak jati Kelantan, Wan Nasrah Abdul Rahim, kisaran isi ikan segar yang digaul bersama bawang besar memberi satu aroma tersendiri.
“Sate ikan atau lokcing ini di kalangan penduduk pantai timur sudah lama. Kebelakangan ini saja, lokcing semakin dikenali ramai setelah ia dipromosikan di laman sosial,” katanya.
Membesar dengan makanan itu, dia mengakui agak sukar didapati di luar kawasan dan hanya mampu menikmatinya setelah pulang ke kampung halaman.
Bagaimanapun, hasil inisiatif peniaga memperkenalkan makanan tersebut ke pasaran luar, lokcing semakin dikenali.
“Kini lokcing boleh didapati secara atas talian sesuai untuk jamuan ringkas atau dimakan bersama keluarga pada waktu petang.
“Lagipun cara sate digaul dengan tepung kanji, menerbitkan rasa kenyal dan aroma wangi apabila ia dibakar di atas bara arang,” katanya.

Kembalikan memori zaman kecil
Sementara itu, Aiman Hafiz Jailani, 25, berkata, rasa sate ikan itu membawanya kepada kenangan zaman kanak-kanak.
“Ia mengingatkan saya zaman persekolahan kerana setiap kali waktu pulang, sate ini menjadi hidangan petang.
“Keenakannya membuatkan saya tidak sabar dan menunggu penjual sate di luar kawasan sekolah selepas tamat waktu pembelajaran,” katanya.
Aroma sate ikan dibakar boleh dihidu walaupun dari jarak jauh sehingga tertarik untuk membelinya.
Biarpun tekstur sate ini berbeza dengan sate ayam atau daging, ia lebih mudah dikunyah berbanding sate biasa.
“Jika makan sate ini, pastinya saya teringat memori sekolah rendah kerana makanan ini merupakan salah satu snek kegemaran.
“Tetapi, tidak lengkap jika tiada sos istimewa pedas atau manis kerana ia pelengkap rasa sate ikan ini,” katanya.
Bagi pelajar, Muhammad Hafiz Riduan Yusoff, 16, dia sangat menggemari lokcing, malah menjadi hidangan keluarga.
“Kami sekeluarga amat menggemari sate ini, tambahan harganya lebih murah berbanding sate lain.
“Lagipun ia mudah didapati kerana penjual akan mengelilingi satu kampung dengan motosikal dan akan singgah di setiap rumah,” katanya.
Menurutnya, sate ikan itu lebih enak dimakan panas-panas, lebih-lebih lagi ketika menonton televisyen bersama keluarga.
Sebab itu, lokcing bukan sahaja diminati golongan muda bahkan setiap lapisan umur boleh menikmatinya. Ia juga mendapat perhatian pelbagai kaum di Malaysia.

Perkenal lokcing ke pasaran luar
Bagi pemilik Suri Lokcing, Ramli Ibrahim yang mengusahakan perniagaan makanan itu sejak beberapa tahun lalu kini meluaskan pasaran ke luar pantai timur.
“Sebenarnya lokcing mempunyai penggemar di seluruh negara namun tidak dikomersialkan secara meluas.
“Biasanya ia dijual di kawasan kampung dan perumahan dengan basikal atau motosikal kerana penyediaannya sangat mudah,” katanya.
Menurutnya, produk itu mempunyai potensi untuk dipasarkan sebagai makanan sejuk beku secara meluas di peringkat antarabangsa.
“Aromanya menarik sesiapa sahaja kerana bau ikan dan panggang bercampur menjadikan ia hidangan terbaik waktu petang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: