Saturday, December 5, 2015

Diperdaya tukang tilik nasib



Diperdaya tukang tilik nasib
Wang tunai berjumlah RM11,050 dan pasu berisi beras yang dirampas daripada suspek.
TELUK INTAN – Empat individu termasuk dua wanita kerugian hampir RM62,000 selepas ditipu seorang lelaki warganegara India yang mengaku tukang tilik nasib.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, suspek yang dikenali sebagai Nagarajan, berusia 20 tahun itu ditahan selepas seorang mangsa menahannya setelah menyedari ditipu.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 18 November lalu di mana ketika mangsa yang juga pemandu lori berumur 25 tahun disapa oleh suspek di hadapan kedai bunga di Hutan Melintang.
"Ketika itu, suspek perkenal diri sebagai tukang tilik sebelum menilik nasib mangsa dan memberitahu keluarganya bakal ditimpa malang.
"Mangsa yang percaya dengan kata-kata itu membenarkan suspek menjalankan upacara sembahyang di rumahnya pada 20 November dengan menyerahkan semua barang kemas milik keluarganya bernilai hampir RM20,000 bersama beras,” katanya.
Yahaya berkata, suspek kemudian mencampurkan barang kemas tersebut bersama beras, sebelum diikat dengan sehelai kain kuning untuk menjalankan upacara sembahyang.
“Ketika upacara sembahyang, mangsa bersama ahli keluarga diminta tunggu diruang tamu bagi membolehkan suspek jalankan upacara secara bersendiri.
“Ketika mangsa tunggu diruang tamu suspek menukarkan bungkusan kain kuning mengandungi barang kemas dan wang tersebut dengan bungkusan serupa yang mempunyai beras sahaja,” katanya.
Selepas itu, katanya, suspek memberitahu mangsa bahawa bungkusan kuning tersebut hanya boleh dibuka selepas sejam jika tidak kuasa tuhan akan berkurangan.
Yahaya berkata, selepas selesai upacara sembahyang, suspek kemudian meminta mangsa menghantarnya ke stesen bas Teluk Intan untuk pulang ke Kuala Lumpur.
“Sebaik suspek turun dari kereta mangsa dia terus menaiki sebuah teksi dan ketika itu mangsa menyedari ada sesuatu tidak kena.
“Dia menelefon bapanya untuk buka bungkusan kain kuning itu dan mendapati hanya ada beras," katanya.
Menurutnya, mangsa terus mengekori teksi dinaiki suspek dan kebetulan pemandu teksi berhenti mengisi minyak di stesen minyak Jalan Changkat Jong.
“Mangsa kemudian buka pintu teksi dan ketika itu suspek sedang leka mengira barang kemas.
“Mangsa menahan suspek bersama pemandu teksi tersebut sebelum membawanya ke IPD Hilir Perak untuk buat laporan,” katanya.
Yahaya berkata, hasil siasatan, suspek didapati memperdayakan tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai cuci kereta dan dua wanita, pemilik kedai jahit.
“Suspek guna modus operandi sama kepada ketiga-tiga mangsa.
“Mangsa yang merupakan pemilik cuci kereta ditipu RM14,000 pada 13 November dan dua pemilik kedai jahit pula pada 15 dan 16 November dengan kerugian RM3,000 serta RM25,000,” katanya.
Beliau berkata, suspek juga memberitahu polis bahawa ayahnya bersama dua saudaranya turut melakukan jenayah sama dan pergi Kuala Lumpur pada 18 November lalu.
"Mereka dipercayai masih lagi bebas menjalankan perkhidmatan tilik nasib di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Pihak polis sudah menyerbu kediaman mereka di Sentul, Kuala Lumpur tetapi mereka lari,” katanya.
Menurutnya, hasil penahanan suspek, polis berjaya merampas barang kemas bernilai RM45,000 bersama wang tunai RM11,050.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: