Batu unik berukuran kira-kira 5 sentimeter ini mendapat perhatian ramai sejak tersebar dalam media sosial.
KAMPUNG PENGKALAN AJAL - Seorang peniaga ikan pernah ditawarkan sebuah kereta Perodua Kancil untuk ditukarkan dengan batu bertulisan jawi yang ditemuinya ketika mandi di Air Terjun Sekayu sekitar 1990-an.
Mazlan Jaffar, 51, berkata, dia menyimpan batu itu sekadar suka-suka kerana tertarik dengan keunikan batu itu, tanpa menganggap ia mempunyai apa-apa kelebihan.
Justeru katanya, dia tidak bersetuju untuk menukar mahupun menjual batu unik itu sampai bila-bila kerana mahu menyimpan sebagai kenangan.
Menceritakan penemuan batu itu, menurut Mazlan, dia dan sekumpulan rakan ketika itu mencari batu sungai yang kecil dan berbentuk leper untuk dibaling pada permukaan air.
Bagaimanapun katanya, dia agak terkejut apabila mendapati salah satu batu seolah-olah ada tulisan jawi, namun ketika itu agak kurang jelas kerana berlumut.
"Apabila dibersihkan, ternyata permukaan batu ini mempunyai tulisan jawi. Memandangkan agak unik, saya buat keputusan untuk simpan dan hanya diketahui rakan serta saudara-mara. Saya juga pernah bermimpi seseorang menyuruh saya simpan batu ini, tetapi saya hanya anggap mainan tidur.
“Lebih kurang tiga tahun lalu, ada seseorang sanggup menukarkan batu ini dengan sebuah kereta Kancil. Difahamkan, dia merupakan seorang pengamal perubatan. Tapi saya menolak baik permintaannya itu dan akan terus simpan sebagai kenangan,” katanya.
Menurut bapa empat anak itu lagi, walaupun ada berpendapat yang batu itu mempunyai keistimewaan tersendiri, namun dia tidak mempercayainya dan hanya menganggap ia sekadar batu sungai.
Bagaimanapun katanya, seminggu kebelakangan ini, batu bertulisan jawi itu makin mendapat perhatian setelah gambar batu itu tersebar dalam media sosial.
“Sebelum ini tidak ramai tahu, tapi sekarang sudah tersebar. Saya tidak kisah dan gembira dapat berkongsi dengan orang lain yang mahu melihat keunikan batu ini.
"Bagaimanapun, saya harap mereka tidak membuat sebarang andaian kerana ia bukan batu ajaib,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: