Muhammad Riduan (kiri) bersama Mohd Fazli menghabiskan siri jelajah semenanjung dengan menaiki motosikal kapcai.
LUMUT - Dua sahabat menempuh perjalanan sejauh 1,000 kilometer mengelilingi semenanjung dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 bagi mempromosikan daerah didiami mereka.
Muhammad Riduan Abdul Kadir, 26, dan Mohd Fazli Ismail, 28, masing-masing berasal dari Benut, Pontian, Johor terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk menyempurnakan hasrat mereka.
Muhammad Riduan berkata, mereka memulakan siri jelajah itu pada 14 September lalu dan singgah di beberapa negeri seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang sebelum kembali semula ke Pontian pada semalam.
“Kami singgah di setiap negeri dan akan memperkenalkan daerah Pontian melalui bendera yang kami bawa serta menceritakan apa yang ada di sana.
“Bendera daerah Pontian turut diedarkan kepada penduduk setempat sebagai kenang-kenangan dan mungkin boleh menjadi daya penarik kepada mereka,” katanya yang singgah di Lumut.
Muhammad Riduan berkata, sepanjang perjalanan mereka terpaksa menempuh pelbagai dugaan termasuk motosikal yang mengalami kerosakan.
“Motosikal saya pernah rosak di bahagian enjin sehingga memaksa kami untuk berhenti dan membaiki terlebih dahulu. Tetapi kami telah membuat persediaan rapi dengan membawa segala peralatan untuk memperbaikinya.
“Kami juga terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu termasuk masalah jerebu yang sedang melanda namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan sehingga tamat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fazli berkata, mereka mahu menonjolkan sesuatu kelainan dalam penjelajahan apabila menunggang motor kapcai sahaja berbanding kebiasaan penjelajahan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.
“Misi ini juga membuktikan belia seperti kami mempunyai semangat serta kesungguhan dalam sesuatu aktiviti yang berfaedah dan tidak hanya membuang masa.
“Melalui siri penjelajahan ini juga kami dapat mengenali kawasan lain dan menimba ilmu baru untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan dalam hidup kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: